Perak Hari Ini

Unity Shield: Perak Tundukkan Lang Merah 3-1

IPOH: Beraksi di laman sendiri nyata memberi tuah kepada Perak apabila berjaya menumpaskan Kedah 3-1 dalam aksi perlawanan persahabatan Unity Shield edisi kedua, malam tadi.

Gelanggang di Stadium Perak, di sini yang dihadiri 17,500 penyokong kedua-dua pasukan itu dibuka oleh skuad tuan rumah menerusi jaringan gol oleh Ketua Pasukan Perak, Shahrul Mohd Saad seawal minit keempat.

Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi kemudiannya menambah satu lagi jaringan buat Skuad The Bos Gaurus pada minit ke-42 sebelum tamat aksi separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, penjaga gawang tuan rumah Mohd Nasrullah Abd Aziz gagal menangkis serangan Kedah hasil rembatan Kpah Sherman pada minit ke-68.

Kegembiraan skuad Lang Merah hanya seketika apabila Raianderson Da Costa Morais atau Careca menghadiahkan gol ketiga buat Perak pada minit ke-77 sebelum wisel penamat ditiupkan.

Shahrul kemudian diumumkan sebagai pemain terbaik pada aksi malam tadi.

Pada perlawanan sama, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan berangkat.

Keberangkatan Baginda diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta tetamu kehormat lain

 

Sementara itu, Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic berkata kemenangan pada aksi malam tadi itu tidak seharusnya menjadikan anak buahnya berasa selesa.

“Pemain kita memberikan aksi terbaik yang akhirnya kita berjaya memenangi 3-1 untuk perlawanan pra-musim ini.

“Walau bagaimanapun kita masih mempunyai perjalanan yang panjang untuk menempuh pembukaan musim ini nanti. Namun saya yakin dengan barisan pemain kita,” katanya.

Bagi pengendali skuad Juara Unity Shield edisi lalu Aidil Shahrin Sahak, kekalahan pasukannya itu seharusnya dijadikan iktibar dan pengajaran bagi memperbaiki persembahan sebelum berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti.

Kedah dijadualkan bertemu JDT dalam aksi pembuka tirai Liga-M bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 Februari ini.

“Kekalahan malam ini tidak mematahkan semangat kami. Saya yakin dengan pasukan saya yang mana mereka sudah memberikan persembahan yang terbaik.

“Cuma pada malam ini bukan malam kami. Kita harus memberikan kredit kepada Perak yang telah bermain dengan baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");