Perak Hari Ini

Usia Bukan Penghalang Minat Aktiviti Larian

BAGAN SERAI: Antara kira-kira 1,000 orang peserta Waterpark Fun Run 2020 di Bukit Merah Laketown Resort dekat sini, hari ini, seorang peserta warga emas berjaya mencuri tumpuan umum.

Azizah Hanim Mohd Nassaruddin, 75 yang hadir bersama ahli keluarganya itu antara para peserta yang berjaya menamatkan acara larian 5 kilometer (km).

Ketika ditemui pemberita, anak jati Bagan Serai itu berkata ia merupakan acara larian ke-18 yang disertainya selama ini.

Ujarnya, dia yang meminati sukan larian sejak kecil itu berkata acara larian yang paling jauh pernah disertainya ialah ketika acara Larian Hari Keputeraan Sultan Perak di Kuala Kangsar, pada tahun lalu, iaitu larian sejauh 10 km.

“Setakat ini sudah 18 acara larian yang saya sertai dan ia termasuk empat acara di Kuala Lumpur.

“Saya memang meminati sukan larian sejak kecil. Dahulu memang selalu menyertai pelbagai acara larian seperti merentas desa dan sebagainya.

“Kini saya sering mengikuti anak-anak yang sering mengajak untuk menyertai acara fun run. Antara yang terawal sekitar tahun 2018 di Kuala Lumpur anjuran sebuah syarikat insurans terkemuka.

“InsyaAllah pada Mac saya akan menunaikan ibadah umrah. Dan pada April ada satu lagi acara larian yang saya akan sertai,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, adakalanya dia menyertai lebih dari satu acara larian pada setiap bulan.

Katanya lagi selain acara larian, dia turut meminati aktiviti memanjat bukit dan antara lokasi yang pernah dijejakinya ialah di Bukit Larut.

Ketika ditanya tentang tips penjagaan kesihatan, Azizah berkata dia tidak mengamalkan sebarang petua khusus.

“Makan itu ikut suka sahaja. Tidak ada pantang atau petua khusus. Alhamdulillah tidak ada sebarang penyakit kecuali kadang-kadang ada alami tekanan darah rendah.

“Di halaman rumah memang ada menanam ulam raja. Walaupun orang kata ia memang ada khasiat saraf dan sebagainya, tapi ia bukan kerana itu. Sebaliknya saya memang suka makan ulam raja,” katanya yang juga isteri kepada seorang bekas tentera.

Ujarnya lagi, ibu kepada tiga cahaya mata dan mempunyai empat cucu itu masih lagi menjalankan perniagaan warung kedai makan di Jalan Selama dekat sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");