Berita Hari Ini

Usul Undi Percaya PAS : Pembangkang Biasa Tidak Sokong PM – TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berasa hairan dengan cadangan PAS yang mahu membawa ‘usul undi percaya’ ke Dewan Rakyat agar Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata ini kerana, kebiasaannya, pihak pembangkang tidak akan menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan perdana menteri mahupun membuat sebarang cadangan seumpama itu.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Dr Wan Azizah hanya tersenyum dan secara ringkas menyatakan: “Kita sudah sokong Dr Mahathir lebih lama sebelum PAS.”

Dr Wan Azizah ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata pembentangan usul undi percaya itu diputuskan sebulat suara oleh majlis kepimpinan pusat PAS pada mesyuarat bulanannya pada Sabtu.

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan turut menyatakan parti itu akan menyokong undi percaya terhadap Dr Mahathir apabila ia dibentangkan oleh PAS di Dewan Rakyat.

Terdahulu, dalam ucapannya pada persidangan berkenaan, Dr Wan Azizah berkata adalah menjadi impian setiap manusia untuk hidup dengan aman dan harmoni namun ia bukan perkara yang boleh dicapai tanpa cabaran dan halangan.

“Setiap individu, masyarakat serta negara di nusantara perlu memainkan peranan serta berganding bahu menjadikan rantau ini sebagai model yang damai dan boleh dicontohi.

“Untuk mewujudkan model sebegitu, kehidupan bersama dan kestabilan politik dalam negara masing-masing perlu dijaga. Namun kita perlu akui bahawa terdapat banyak isu di rantau ini yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah turut menambah bahawa setiap masyarakat dilihat perlu bersedia dengan pendedahan dunia luar dan menerima perubahan dalam kehidupan masing-masing.

Menceritakan keadaannya semasa menyambung pengajian di luar negara suatu masa dulu, beliau berkata ia dijadikan platform untuknya mengumpul pelbagai pengalaman berharga supaya lebih mudah menyesuaikan diri dalam apa-apa situasi pada masa depan.

“Semasa saya di luar negara (menyambung pengajian), saya mengalami sedikit kejutan budaya kerana saya tergolong dalam kumpulan minoriti. Namun daripada situlah saya belajar untuk bertahan dalam pelbagai jenis kaum, pegangan agama dan cara hidup,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");