Panasnya Hari Ini

Yayasan Akalbudi Tidak Pernah Diaudit

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Yayasan Akalbudi yang dimiliki bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memfailkan Laporan Mesyuarat Tahunan (AGM) dan Laporan Audit Tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut BH Online, Setiausaha Syarikat Yayasan Akalbudi, Mahinder Kaur yang memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-28, berkata beliau tidak dapat mengemaskini dokumen yayasan itu kerana tidak disertakan dengan dokumen lengkap.

Mahinder yang juga Pengarah MKSS Management iaitu sebuah lagi syarikat dimiliki Ahmad Zahid, berkata beliau mengenali Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sejak 1989 melalui seorang kenalan.

Beliau berkata, Ahmad Zahid melantiknya sebagai setiausaha syarikat yayasan berkenaan pada 2012 yang ditugaskan untuk mengemaskini dokumen yayasan itu bermula 2003.

Saksi itu yang membacakan pernyataan saksi, berkata beliau bagaimanapun tidak dapat mengemaskini dokumen berkenaan.

“Ahmad Zahid tidak pernah memberikan saya dokumen yang lengkap walaupun saya meminta daripadanya berulang kali.

“Yayasan Akalbudi tidak pernah mengemukakan laporan kewangan kepada saya untuk difailkan kepada SSM.

“Ia juga tidak pernah melakukan audit terhadap akaunnya atau mengemukakan laporan audit kepada SSM,” katanya.

Mahinder berkata demikian pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi membabitkan jutaan ringgit yang dihadapi Ahmad Zahid.

Mahinder berkata, alamat berdaftar yayasan itu adalah seperti yang terdapat dalam ‘maklumat syarikat SSM Yayasan Akalbudi’, bagaimanapun beliau tidak mengetahui sama ada alamat itu wujud atau tidak.

Malah menurut saksi, beliau tidak menerima sebarang pertanyaan daripada SSM berhubung yayasan itu.

Sepanjang pengetahuannya, Mahinder berkata Yayasan Akalbudi tidak pernah mengadakan mesyuarat di antara Lembaga Pemegang Amanah dan sepanjang dilantik, beliau tidak pernah dimaklumkan berhubung aktivitinya.

“Dalam pengetahuan saya, Yayasan Akalbudi tidak pernah mengadakan AGM.

“Mengikut Akta Syarikat 1965, syarikat harus mengadakan AGM yang pertama dalam masa 18 bulan selepas didaftarkan, manakala AGM berikutnya hendaklah diadakan dalam masa tidak melebihi 15 bulan daripada AGM sebelumnya.

“Saya pernah beberapa kali memaklumkan kepada Ahmad Zahid mengenai AGM dan Laporan Audit Tahunan yang perlu difailkan kepada SSM dan beliau (Ahmad Zahid) beritahu akan memberikan dokumen itu.

“Bagaimanapun, sehingga kini saya belum mendapat apa-apa dokumen berkaitan bagi mengemaskini dokumen yayasan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");