Berita Hari Ini

6 anggota polis positif Covid-19, 335 ahli keluarga dipantau

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan seramai enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini disahkan positif Covid-19.

Perkembangan itu juga, menurut beliau, mendorong sebanyak 335 ahli keluarga anggota PDRM diletakkan di bawah pemerhatian sementara menunggu keputusan makmal.

“Bahaya (Covid-19) ini bukan satu ciptaan, rekaan atau bukan lakonan. Ia adalah satu realistik sekali dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

“Warga PDRM pun sudah enam orang. Seramai 335 orang ahli keluarga PDRM ini di bawah pemerhatian menunggu keputusan.

“Itulah risiko yang petugas-petugas PDRM terpaksa ambil,” katanya dalam satu wawancara bersama Buletin Awani Khas, hari ini.

Terdahulu Abdul Hamid diminta mengulas mengenai perlunya orang ramai mematuhi perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan berkuat kuasa antara 18 Mac hingga 31 Mac ini.

Sementara itu, Abdul Hamid juga mengingatkan orang awam supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Sambil menekan untuk mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan untuk keluar dari rumah, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Tak mahu lokap penuh

“Jangan ambil kesempatan dengan mengeksploitasi keadaan yang masih lagi terkawal ini.

“Apabila nanti jika sampai tahap darurat, dah lain pula perintah yang datang daripada saya.

“Mungkin mereka (yang tidak mematuhi arahan) akan terus di bawa ke balai kerana ingkar. Jangan biar sampai situ.

“Buat perancangan (kalau perlu) untuk keluar dari rumah. Budi bicara ini saya akan serahkan kepada petugas-petugas di bawah.

“Saya tidak mahu lokap-lokap polis dipenuhi oleh orang-orang langgar perintah,” katanya.

Abdul Hamid menambah keberkesanan perintah kawalan pergerakan banyak bergantung kepada pemahaman dan pematuhan masyarakat.

Katanya, buat masa ini, pihak polis masih lagi diarahkan untuk mengambil tindakan berhemah walaupun ada sesetengah orang yang mengingkarinya.

“Sebenarnya polis boleh (tahan), bukan tak boleh, tetapi kita masih lagi diarahkan untuk mengambil tindakan berhemah tadi. Berikan mereka peluang lagi.

“Ada beberapa kes yang kita telah membuat penangkapan, satu kes di mana orang awam memaki-hamun menggunakan bahasa yang mencarut dan lagi satu kes mabuk dia bertindak kasar.

“Dalam kes-kes ekstrem saya telah memberikan lampu hijau untuk ambil tindakan untuk menangkap,” jelasnya lagi.

Affendi Buang

Sementara itu, Abdul Hamid memberitahu bahawa PDRM mengalu-alukan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan dipanggil untuk memantau PKP bermula tengah malam ini.

“Saya amat mengalu-alukannya. Saya dan Panglima ATM (Affendi Buang) sudah berbincang tentang senario apabila keadaan menjadi begitu gawat sekali.

“Pemikiran panglima terbuka, beliau menyatakan apabila keadaan tiba waktunya, pihak PDRM memerlukan bantuan ATM, maka pihak ATM bersedia untuk menghulurkan bantuan.

“Saya tidak boleh memberi jaminan bahawa PDRM boleh mengawal keadaan 100 peratus. Tidak boleh, pasal senario ini akan berubah, kita harap jangan sampai ke situ, tapi persediaan itu mesti mantap apabila ia berlaku, satu lagi team sokongan yang telah cukup terlatih bantu PDRM,” katanya.

Abdul Hamid turut menolak persepsi bahawa ATM akan ambil alih kawalan daripada pihak polis.

“Ia cuma bantuan. Tidak pernah ATM kata bahawa akan ambil alik. Kita terima tawaran dari ATM hanya bantuan menambah petugas-petugas.

“PDRM masih mengetuainya. Jadi tidak timbul soal ATM nak ambil alih, PDRM tidak berkemampuan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");