Sukan Hari Ini

Adik Beradik Tunjuk Kehebatan

KUALA LUMPUR: Pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) melabuhkan tirainya semalam dengan pasukan PACHI ZK Racing ‘tersenyum lebar’ dengan prestasi pelumbanya dalam kedua-dua kelas – SuperSports 600cc dan AP250cc.

Dalam kelas SuperSports 600cc, gandingan adik beradik Adam dan Ibrahim Norrodin mempamerkan tunggangan menarik dengan kedua-duanya hampir menaiki podium bersama pada Perlumbaan 2 namun nasib tidak menyebelahi Ibrahim yang terjatuh pada selekoh terakhir pusingan akhir.

Begitupun, Ibrahim sudah membuktikan kemampuan dirinya apabila menamatkan Perlumbaan 1 kelmarin dengan berada di tempat ketiga – podium pertamanya selepas kali terakhir di Litar The Bend Motorsport Park, Australia ketika menggantikan abangnya, Adam yang menyertai Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV).

“Secara keseluruhannya saya sangat gembira dengan kelas 600cc. Adam dan Ibrahim menunjukkan prestasi yang sangat bagus sejak ujian pramusim lagi. Kami pasukan di bawah program SIC (Litar Antarabangsa Sepang), jadi kami banyak menggunakan fasiliti di sini dan ini adalah perlumbaan laman sendiri buat kami.

“Saya yakin Adam sudah mengenali trek ini dengan sangat baik, jadi dia dapat beraksi dengan baik sejak dari awal dan pada ujian pramusim, dia juga memecahkan rekod (catatan masa sepusingan) di sini.

“Saya sebenarnya agak bimbang dengan Adam dan Ibrahim kerana kedua-duanya laju dan sebagai pengurus pasukan, saya tidak tahu apakah perancangan terbaik (buat Adam dan Ibrahim) kerana saya tidak boleh membuat andaian siapakah yang akan menang… Ini kerana itu (kemenangan) adalah atas usaha mereka sendiri dan selalunya yang terbaik akan menang.

“Sebagai pengurus pasukan, saya tidak memberi apa-apa arahan dan yakin kedua-dua pelumba ini mempunyai bakat yang baik,” kata Pengurus Pasukan, Zulfahmi Khairuddin merumuskan mengenai pencapaian pasukan untuk pusingan pertama ini, lapor BH Online.

“Tahun lalu, Ibrahim tidak berlumba (sepenuh masa), dia hanya menggantikan Adam di Australia – ketika itu Adam perlu menyertai CEV dan prestasinya sangat baik walaupun sudah lama tidak menunggang motosikal (dalam saingan kompetitif).

“Jadi sebulan lalu, kami membuat keputusan untuk dia menyertai pasukan bagi saingan ARRC. Bermula dari situ, saya beri dia latihan insentif dan hari ini (semalam) dia menunjukkan satu prestasi yang sangat baik. Saya yakin pada satu hari nanti dia boleh memenangi perlumbaan seperti Adam,” kata Zulfahmi.

Dalam kelas AP250, pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril membuat kemunculan semula selepas berehat setahun lebih bagi memulihkan kecederaan di kaki kanannya.

Danial menamatkan kedua-dua perlumbaan masing-masing di tempat ke-10 dan kesembilan selepas bermula daripada petak kesembilan.

“Danial sudah boleh jalan sendiri (tanpa bantuan) dan dua bulan lalu, buat kali pertamanya kami memberikan dia peluang untuk menunggang motosikal dan dari situ, saya boleh nampak Danial masih mempunyai keyakinan dan dia menunjukkan peningkatan.

“Hari ini (semalam), Danial menunjukkan prestasi yang sangat baik. Dia bersaing dengan kelompok kedua yang membuatkan semua orang risau dengannya tetapi saya tahu, Danial adalah seorang pelumba yang bagus. Dia tahu mana had kemampuan motosikal dan harap dia boleh pulih dalam masa terdekat ini,” kata Zulfahmi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");