Perak Hari Ini

Arafat Dakwa MN Perak Mahu Tubuh Kerajaan Di Perak Tanpa Bersatu

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa Muafakat Nasional (MN) di Perak cuba untuk membentuk kerajaan negeri tanpa penyertaan Adun daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mendakwa MN Perak cuba untuk bertindak demikian sebagaimana yang berlaku di Melaka apabila MN di negeri itu menarik menarik balik kerjasama dengan dua Adun Bersatu bagi membentuk kerajaan di Melaka.

“Mereka kini ada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dikatakan seorang Adun PH sudah bersedia untuk menyokong mereka.

“Benar atau tidak, saya tidak dapat untuk pastikan. Cuma kini mereka sudah ada 29 dan perlu lagi seorang Adun untuk menyokong mereka.

“Jadi saya dimaklumkan mereka memerlukan sokongan tanpa melibatkan Adun Bersatu sebagaimana yang berlaku di Melaka. Itu rancangan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Hi Tea dan Ramah Mesra Ahli-Ahli Alumni 4B Kawasan Tambun di sebuah hotel di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun kata beliau, kesemua Adun Pakatan Harapan (PH) Perak masih teguh dengan pendirian untuk mempertahankan mandat rakyat pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Tambahnya lagi, beliau turut yakin bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan turut mempertahankan mandat rakyat itu bersama PH.

Sebelum ini dilaporkan, Muhamad Arafat mendakwa telah dihubungi seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk menyertai parti itu dan menyokong pembentukan sebuah kerajaan negeri baru di Perak.

Sementara itu, beliau turut ditanya pemberita berkenaan pendirian Adun-Adun PKR terhadap perkembangan politik masa kini.

“Saya tidak pasti cuma saya selalu berhubung dengan Adun Teja (Sandrea Ng) dan Adun Simpang Pulai (Tan Kar Hing).

“Cuma yang seorang lagi tu agak kurang. Namun kita tidak boleh berprasangka. Jarang berhubung itu tidak membawa maksud apa-apa. Namun saya yakin beliau tetap bersama PKR,” katanya.

Walaupun tidak disebut nama individu tersebut secara jelas namun individu yang dimaksudkan beliau itu ialah Adun Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan PH sebelum ini membentuk kerajaan negeri melalui 18 kerusi Dun dari DAP, 6 Adun Parti Amanah Negara (Amanah), 4 Adun PKR, dan 2 Adun Bersatu.

Sementara Umno memiliki 25 kerusi Dun, Pas 3 kerusi Dun dan kini membentuk gabungan Muafakat Nasional (MN), manakala, Adun bebas ada satu kerusi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");