Berita Hari Ini
Like

Bayaran BPN mula disalur hujung April

March 29, 2020
473 Views
0 Comments
2 minutes read
Bayaran BPN mula disalur hujung April

Pembayaran bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada penerima yang layak bermula akhir bulan April depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan memaklumkan pembayaran akan dibuat pada dua fasa iaitu pada akhir bulan April dan Mei.

“BPN yang telah diperuntukkan sebanyak RM10 bilion bagi golongan rakyat yang layak.

“Pembayaran BPN akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada akhir bulan April dan Mei 2020,” kata kenyataan itu.

Bayaran tersebut adalah seperti berikut:

• RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.

• RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.

• RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April 2020 dan baki RM300 pada bulan Mei 2020.

• RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April 2020 dan baki RM250 pada bulan Mei.

Menurut kenyataan itu, bagi mereka yang belum berdaftar, permohonan baru boleh dibuat mulai 1 April 2020 menerusi laman web rasmi LHDNM: www.hasil.gov.my.

Jumaat lalu ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan BPN iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion.

Buat pertama kalinya bantuan akan turut disalurkan bukan sahaja kepada kumpulan B40 tetapi meliputi kumpulan M40.

Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.

Berhati-hati dengan scammer

Selain itu, Kementerian Kewangan turut mengingatkan orang awam agar berhati-hati dengan ‘scammers’ yang mengambil peluang menipu orang awam berkaitan pakej rangsangan itu.

“Penerima disarankan merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan jangan memberikan maklumat kepada mana-mana pihak ketiga.

“Kementerian ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah berkongsi pandangan, teguran dan cadangan mengenai Pakej Prihatin menggunakan pelbagai saluran,” kata kenyataan itu lagi.

Jelasnya, kementerian itu melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana), bersedia memastikan bantuan Pakej Prihatin disampaikan dengan efisien dan cepat.

Komen & Pendapat

Comments are closed.