Berita Hari Ini

Covid-19: Agong Seru Khutbah Solat Jumaat Dipendekkan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru semua masjid di negara ini agar memendekkan khutbah solat Jumaat dan menyediakan termometer kepala, cecair pembasmi kuman dan penutup mulut dan hidung di masjid sebagai langkah mencegah jangkitan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Seri Paduka turut menyeru rakyat berwuduk dari rumah sebelum ke masjid dan mereka yang mengalami gejala Covid-19 dinasihatkan tidak menghadiri solat Jumaat seperti saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar semua masjid di negara ini mengadakan bacaan doa Qunut Nazilah semasa solat Subuh dan solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat dari wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah amat prihatin dan mengikuti perkembangan terkini penularan Covid-19 dan menzahirkan kebimbangan Seri Paduka terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat berikutan kenaikan kes terbaharu jangkitan virus tersebut dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menyeru peserta yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, untuk memberi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah, untuk memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

“Seri Paduka menggesa rakyat Malaysia agar menangguh perhimpunan yang melibatkan orang ramai seperti saranan KKM dan rakyat yang mengalami gejala Covid-19 agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat.

“Rakyat turut digesa menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan serta pertanyaan, dan untuk mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya mematuhi panduan kebersihan dan kesihatan diri, serta langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM.

“Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan serta pemantauan berterusan oleh KKM dan agensi berkaitan, dalam usaha memastikan langkah pencegahan Covid-19 serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berkesan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");