IPOH: Walaupun tiada pembelian panik secara melampau di negeri ini namun, bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman dikatakan kehabisan stok berikutan perkembangan kes pandemik koronavirus (Covid-19).
Hasil tinjauan PerakToday ke beberapa pusat membeli belah dan kedai penjagaan kesihatan di sekitar Bandaraya Ipoh mendapati rak yang menempatkan kedua-dua barangan itu mulai kosong.
Ada beberapa premis turut memaparkan kenyataan kehabisan stok barangan-barangan tersebut.
Menurut salah seorang kakitangan di sebuah kedai rangkaian penjagaan kesihatan di sini, susulan penularan Covid-19 di negara ini sejak awal tahun ini, keadaan seperti itu kian meruncing.
“Disebabkan kes Covid-19 ini boleh dikatakan sekitar 50 pelanggan dalam sehari pasti akan bertanya bagi mendapatkan bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.
“Oleh sebabkan itu, pihak pengurusan kami terpaksa mengarahkan agar menghadkan pembelian barangan tersebut bagi seorang pelanggan.
“Sebagai contoh, seorang pelanggan hanya boleh mendapatkan dua botol cecair pembasmi kuman sahaja dalam satu-satu masa,” katanya.
Tambahnya lagi walau masih ada namun, stok topeng muka juga dikatakan agak terhad pada ketika ini.
“Sebelum penularan kes Covid-19 ini tidak ada sekatan atau had jumlah dikenakan kepada pelanggan untuk mendapatkan bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman,” tambahnya.
Sementara itu, tinjauan PerakToday juga mendapati rak yang menempatkan tuala kertas dan tisu tandas di beberapa pasar raya turut semakin berkurang selain turut dipercayai stok agak terhad.
Walau bagaimanapun difahamkan tiada sebarang sekatan atau had jumlah yang dikenakan ke atas setiap pelanggan yang mahu mendapatkan barangan itu.
Rata-rata pelanggan yang ditemui berkata mereka membeli barangan tersebut mengikut keperluan.
Salah seorang yang ditemui, Ah Ling ,67, berkata dia tidak menolak bahawa kebimbangan terhadap kes penularan Covid-19 menjadi salah satu faktor para pelanggan membeli tisu tandas dengan kuantiti yang banyak.
“Sejak akhir-akhir ini anak saudara saya mengatakan banyak tisu tandas dan tuala tandas mula berkurangan di beberapa pasar raya di sini.
“Saya bimbang sekiranya stok barangan itu habis ditambah pula dengan penularan Covid-19 ini,” katanya.
Hari ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata akan membawa isu kekurangan topeng muka dan cecair pembasmi kuman yang dialami di seluruh negara di peringkat Kabinet pada Rabu ini.