Perak Hari Ini

Covid-19: Boon Chye Cadang KKM Senaraikan Lokaliti Pesakit

IPOH: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) disyorkan untuk mengeluarkan data lokaliti keberadaan pesakit yang disahkan positif wabak Koronavirus (Covid-19) di seluruh negara.

Mantan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata langkah itu perlu supaya ia dapat membantu mengurangkan penularan penyakit tersebut.

“Dalam melaksanakan langkah itu, kita perlu mengimbangi dengan melindungi data peribadi pesakit dan data yang dapat membantu mengawal wabak tersebut daripada terus menular.

“Saya berpandangan sekiranya KKM dapat mengumumkan kawasan yang mempunyai pesakit positif Covid-19, para komuniti setempat akan turut membantu KKM ke arah usaha itu,” katanya.

Jelas beliau lagi, KKM juga tidak perlu menyenaraikan secara terperinci seperti kawasan tempat tinggal sebaliknya cukup sekadar sekurang-kurangnya menamakan lokaliti yang terlibat.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Gopeng turut mencadangkan agar ketua komuniti atau pemimpin masyarakat turut terlibat dalam usaha mengurangkan lagi penularan Covid-19 di negara ini.

“Dalam menghadapi situasi mencabar seperti ini, usaha kerajaan sahaja tidak mencukupi. Ia turut memerlukan kerjasama seluruh rakyat dan komuniti.

“Saya pasti sekiranya komuniti setempat terlibat bersama dalam urusan kawalan wabak ini, ianya akan lebih berkesan.

“Ini kerana mereka lebih faham dengan faktor masyarakat setempat dan seterusnya dapat memberi kesedaran berhubung usaha ini dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Gopeng di sini, hari ini.

Selain itu, ditanya mengapa kerajaan lalu tidak melaksanakan cadangan tersebut, beliau berkata ia kerana ketika gelombang pertama kes positif Covid-19 masih belum mencapai 30 kes positif.

“Ketika peringkat pertama, kes tidak sampai 30 kes. Jadi sekiranya kita mengumumkan lokaliti pesakit, ia secara jelas tidak dapat melindungi identiti pesakit tersebut.

“Namun sebaliknya hari ini, negara sudah melepasi 500 kes dan saya menjangkakan ia akan terus meningkat,” katanya.

Untuk rekod sehingga tengah hari semalam, sebanyak 125 kes positif Covid-19 dicatatkan dengan 12 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ia menjadikan keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 553 kes.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");