Perak Hari Ini
Like

Covid-19: Hilir Perak Dan Kinta Antara Kawasan Catat Lebih 40 Kes

March 26, 2020
931 Views
0 Comments
1 minute read
Covid-19: Hilir Perak Dan Kinta Antara Kawasan Catat Lebih 40 Kes

IPOH: Daerah Hilir Perak dan Kinta menjadi antara 13 kawasan di seluruh negara yang mencatatkan kes Covid-19 melebih 40 kes.

Sehingga tengah hari semalam, Hilir Perak mencatatkan 48 kes sementara Kinta mencatatkan 41 kes wabak tersebut.

Sementara itu, Kerian mencatatkan sembilan kes, Manjung dengan lapan kes dan Perak Tengah tujuh kes.

Pada masa sama, Larut Matang Selama dan Hulu Perak masing-masing merekodkan lima kes serta Batang Padang dengan tiga kes.

Kuala Kangsar dan Mualim masing-masing mencatatkan satu kes sementara Kampar menjadi daerah yang tidak merekodkan sebarang kes Covid-19, dalam tempoh sama.

Taburan kes Covid-19 mengikut daerah itu dimuat naik oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Twitter beliau, hari ini.

Terdahulu dalam satu sidang media di Putrajaya pada petang tadi, beliau berkata terdapat dua kematian baharu yang dilaporkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 23 kes.

Katanya kes kematian ke-23 melibatkan seorang lelaki berusia 62 tahun dengan latar belakang penyakit kronik dan telah menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Bainun, dekat sini sebelum disahkan meninggal dunia pada 12.37 tengah hari tadi.

Walau bagaimanapun jelas Noor Hisham, kes mangsa itu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sekiranya mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster Covid-19.

Sementara itu, berdasarkan lampiran kenyataan media beliau, sehingga tengah hari tadi Perak telah mencatatkan sebanyak 23 kes baharu dan ia menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri itu sebanyak 151 kes.

Komen & Pendapat

Comments are closed.