Membawang Hari Ini
Like

COVID-19 : Kecoh Netizen Lawan Artis, Amylea Pinta Usah Fikir Negatif

March 30, 2020
283 Views
0 Comments
2 minutes read
COVID-19 : Kecoh Netizen Lawan Artis, Amylea Pinta Usah Fikir Negatif

KUALA LUMPUR: Terkesan dengan perdebatan netizen terhadap isu penggiat seni yang hilang mata pencarian minta dibantu sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, penyanyi Amylea mahu warganet berhenti mengecam pekerja seni.

Amylea berkata, ketika negara berhadapan krisis kesihatan, lebih baik semua pihak tidak berpandangan negatif.

“Tolonglah jangan berpandangan negatif, jangan mengutuk sesama kita… Berbaiklah antara kita semua,” luahnya melalui entri di Facebook (FB).

Amylea berkata, tidak semua artis hidup mewah seperti disangka.

“Golongan anak seni ada pelbagai cabang. Ada artis yang mampu dan sebaliknya. Luahan saya ini bukan untuk diri sendiri tetapi kepada artis yang memerlukan.

“Kerugian yang dialami ibarat ‘pukul rata’. Ramai pihak terkesan daripada golongan petani, pemilik syarikat penerbangan, peniaga kecil atau besar… Ramai yang terputus rezeki.

“Kita bersimpati kepada semua yang bergelut dalam kesusahan. Kita tidak tahu berapa banyak kerugian dialami kesan isu penularan COVID-19 ini.

“Contohnya, jika syarikat pengurusan acara sudah mengambil pinjaman beratus ribu ringgit untuk menganjurkan majlis. Artis yang sudah mengesahkan pembabitan mereka, berdepan kerugian yang banyak apabila acara dibatalkan,” katanya.

Amylea berkata, usaha mencari rezeki sebagai artis tidaklah semudah disangka.

“Di Malaysia, berapa ‘kerat’ sahaja stesen radio dan televisyen (TV) yang ada. Tahu tak berapa sen anak seni dapat jika TV dan radio menggunakan lagu mereka? Itu pun kalau dimainkan. Berapa royalti untuk komposer dapat jika lagunya berkumandang pula?” katanya.

Tambah Amylea, ramai artis tidak menerima undangan persembahan, malah ada yang ditawarkan ‘job’ antara tempoh dua hingga tiga bulan sekali.

Amylea berkata, selepas berakhirnya PKP dan Malaysia disahkan bebas daripada COVID-19, artis belum tentu dapat bekerja semula berbanding orang lain.

“Apabila syarikat yang dahulunya menjemput artis membuat persembahan dan disebabkan wabak, mereka menanggung kerugian besar, apakah menjadi keperluan untuk organisasi terbabit memanggil artis menjayakan semula acara yang terbantut?” katanya.

Amylea kesal polemik tercetus menampakkan segelintir netizen mudah melemparkan kecaman dan kritikan terhadap anak seni memetik BHarian.

“Seperti kami tiada perasaan dan keluarga. Mudah menyuruh kami buat simpanan atau berniaga itu ini… Tidak semua artis pakar dalam hal itu,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.