KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan laluan khas untuk petugas barisan hadapan dan kenderaan perdagangan keperluan asas di setiap lebuh raya.
Langkah ini adalah bagi memastikan semua pergerakan penting pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berjalan lancar lapor BHarian.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, memaklumkan laluan khas berkenaan atau (Fast Lane) dikhaskan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta lain-lain agensi yang terbabit dalam PKP.
“Selain barisan hadapan ini, turut dibenarkan melalui laluan khas berkenaan adalah kenderaan perdagangan yang membawa barangan keperluan asas asas dan makanan.
“Laluan khas ini dibuka di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR) di setiap lebuh raya bagi memastikan mereka yang terbabit sebagai petugas hadapan segera sampai ke destinasi serta tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika pemeriksaan SJR,” katanya dalam satu kenyataan laman Facebook Polis Diraja Malaysia.
Selain itu, pegawai kakitangan kerajaan berkepentingan yang terbabit dalam penugasan PKP juga boleh menggunakan laluan khas itu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata selain kenderaan perdagangan pihak media cetak dan elektronik yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia juga dibenarkan melalui laluan berkenaan.
“Selain petugas barisan hadapan, pekerja media juga boleh melalui laluan berkenaan dengan syarat menunjukkan pas atau kad media serta surat kebenaran dari syarikat masing-masing,” katanya.