Perak Hari Ini

Covid-19: MB Perak Potong Gaji Dua Bulan

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan memotong gajinya selama dua bulan iaitu pada Mac dan April ini untuk disalurkan ke Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

Beliau dalam satu kenyataan berkata ia selaras dengan keputusan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang turut memotong gaji dua bulan bagi disalurkan ke Tabung Covid-19 di peringkat Persekutuan.

“Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan badan-badan korporat dan pihak swasta untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak melalui akaun Bendahari Negeri Perak CIMB Islamic pada nombor akaun 8601170183.

“Sekali lagi, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar semua rakyat Perak untuk bersatu hati dan memberikan kerjasama bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

“Kepada semua umat Islam, marilah kita laksanakan solat hajat di rumah masing-masing selepas solat Zohor hari ini.

“Ia bagi memanjatkan doa kepada Allah SWT agar negara ini segera bebas daripada ancaman Covid-19 serta dikurniakan kesembuhan sepenuhnya buat semua pesakit dan para petugas barisan hadapan, khususnya kakitangan Hospital Teluk Intan yang disahkan positif jangkitan Covid-19,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau pada masa sama turut menjunjung perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang meluluskan RM11.95 juta Dana Khas Agihan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) untuk membantu golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pada masa sama Ahmad Faizal turut menzahirkan rasa kesedihan beliau terhadap korban pertama Covid-19 di Perak yang melibatkan seorang pesakit berusia 62 tahun dan berasal dari Kajang, Selangor.

Ujarnya lagi beliau yakin pasukan perubatan di Hospital Raja Perempuan Bainun telah melakukan yang terbaik untuk merawat mangsa sejak dirujuk ke hospital itu pada 23 Mac lalu.

“Kita perlu merasa bimbang kerana dua daerah di negeri ini iaitu Hilir Perak dan Kinta telah diklasifikasikan sebagai kawasan Zon Merah, dengan masing-masing mencatatkan 48 dan 41 kes positif sehingga semalam.

“Selain itu, jumlah kes jangkitan positif di seluruh negeri Perak pula terus meningkat kepada 151 kes sehingga semalam, melibatkan hampir kesemua daerah di negeri ini, kecuali Kampar.

“Justeru, Kerajaan Negeri mengulangi rayuan kepada semua rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya perlu sahaja, serta mengamalkan jarak sosial,” tambah beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");