Berita Hari Ini

Covid-19: M’sia pertingkat saringan, ikut langkah Korea Selatan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengambil maklum Korea Selatan telah melakukan saringan secara besar-besaran bagi membantu memperlahankan penularan Covid-19 dan Malaysia juga sedang mempertingkat keupayaan pemeriksaan pada tahap yang sama dengan negara itu.

Noor Hisham berkata ketika Covid-19 mula menular, makmal cuma mampu menguji 3,500 sampel sehari tetapi keupayaan itu telah bertambah 7,000 ujian sehari dan akan meningkat menjadi 16,000 sehari pada bulan depan.

“Sekiranya kita belajar daripada pengalaman Korea Selatan, mereka melakukan 20,000 ujian setiap hari. Jadi, kita tidak begitu jauh, kami akan melakukan 16,500 ujian (sehari) dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang.

“Jadi kami akan terus menyaring lebih ramai orang dan berharap kami dapat mengesan lebih banyak (orang yang dijangkiti),” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan telah menjalankan 18,416 ujian saringan Covid-19. Ia pertambahan daripada 9,799 ujian pada seminggu yang lalu.

Noor Hisham (gambar, atas) berharap peningkatan keupayaan ujian dapat membantu Kementerian Kesihatan mengesan orang yang dijangkiti lebih cepat dan mengasingkan mereka secepatnya untuk mengurangkan jumlah jangkitan dan menghalang wabak menjadi tidak terkawal.

Ini, katanya kerana jika jumlah pesakit naik mendadak dengan ramai dan hospital sesak, maka akan ada pesakit yang tidak dapat menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Kami sudah meningkatkan kemudahan hospital kami dan dapat merawat pesakit dengan baik… Jika kami merawat pesakit dengan baik, mereka dapat pulih dalam masa yang singkat.

“Satu-satunya kebimbangan adalah apabila terdapat lonjakan – pertambahan besar dan mendadak – serta keupayaan terhad, maka kita perlu memilih pesakit mana yang akan dapat menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Kami berharap kami tidak sampai ke peringkat itu untuk menentukan pesakit mana yang boleh guna ventilator dan pesakit mana yang tidak boleh guna alat bantuan pernafasan itu,” katanya.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 1,624 kes Covid-19 yang telah meragut 15 korban.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");