Berita Hari Ini

COVID-19: Padah Buat Penyataan Menakutkan Awam Di WhAtsapp, Lelaki Didenda RM2,000

MELAKA – Seorang lelaki warga emas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membuat penyataan dalam aplikasi WhatsApp mengenai COVID-19 dengan niat menyebabkan ketakutan awam, minggu lepas.

Bernama melaporkan, Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Alias Samad, 63, yang bekerja sendiri dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Alias didakwa membuat suatu penyataan dalam media sosial WhatsApp kumpulan “TTHAM RADIO” yang menyatakan bahawa bapa pengadu kes itu telah masuk wad disyaki COVID-19 kerana baru balik dengan kumpulan tabligh dan enggan mendapatkan rawatan, dengan niat menyebabkan ketakutan awam.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di Lot 1377, Jalan Baru, Kampung Jambatan Duyung di sini, pada 9.26 malam, 20 Mac lepas mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Muhammad Nazrin ketika menjatuhkan hukuman itu berkata adalah menjadi kesalahan menyebarkan maklumat tanpa usul periksa.

Majistret itu berkata mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman turut mengambil kira kerjasama baik diberikan tertuduh sepanjang siasatan dilakukan termasuk tindakannya menyerah diri kepada pihak polis, serta kepentingan awam.

Beliau berkata kes itu seharusnya dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya berhati-hati dalam berkongsi maklumat, serta menyerahkan tugas penyebaran maklumat mengenai COVID-19 kepada pihak bertanggungjawab.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal, mengambil kira kesan daripada perbuatan tertuduh yang boleh mencetuskan panik dan mengganggu ketenteraman awam, selain memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.

Alias yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan serta memohon maaf atas perbuatannya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");