Panasnya Hari Ini

COVID-19: Perbicaraan Bung Moktar, Isteri Dilapangkan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad, sepanjang Mac ini dilapangkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak COVID-19.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, melapangkan tarikh perbicaraan itu selepas membenarkan permohonan peguam Datuk K Kumaraendran, yang mewakili Bung Moktar dan isterinya, yang juga pelakon berikutan arahan kerajaan itu.

Kumaraendran memaklumkan pihaknya perlu pulang ke Pulau Pinang untuk menguruskan hal pentadbiran kerana pejabat guamannya di negeri itu akan ditutup esok.

“Berikutan pengumuman Perdana Menteri semalam, kami perlu balik ke Pulau Pinang untuk menguruskan hal-hal pentadbiran di pejabat seperti pembayaran gaji kepada kakitangan dan perlu memaklumkan kepada pelanggan berhubung kes mereka.

“Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan juga perlu pulang ke Sabah kerana beliau mempunyai tanggungjawab terhadap kawasan Parlimennya,” katanya sebelum prosiding perbicaraan kedua-dua anak guamnya bermula, lapor BH Online.

Rozina berkata, mahkamah belum menerima arahan Pejabat Ketua Pendaftar berhubung arahan penutupan mahkamah.

Beliau kemudiannya mengarahkan pihak pendakwaan menyelesaikan pemeriksaan utama terhadap saksi kelima pihak pendakwaan yang menyambung keterangannya hari ini.

Selepas saksi selesai memberi keterangan, Rozina mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan masuk ke kamarnya bagi menetapkan tarikh baharu perbicaraan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, memberitahu pemberita mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung 10 April ini.

Terdahulu, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA Berhad), Dr Habibah Suleiman, 72, dalam keterangannya berkata, beliau tidak ingat sama ada ALP Felcra ada memberi kebenaran atau tidak kepada Bung Moktar untuk berjumpa dengan Menteri Kewangan berkenaan permohonan pelaburan unit amanah Public Mutual berjumlah RM150 juta.

“Saya tidak boleh ingat,” katanya ketika ditanya Mohamad Fadhly.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, 60, yang ketika itu adalah Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Bung Moktar dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama (Madhi) melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");