Sukan Hari Ini

Covid-19: PFAM Tak Setuju Potong Gaji Pemain

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk melakukan pemotongan gaji pemain pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang tempoh penangguhan liga akibat penularan wabak Covid-19.

Kepimpinan tertinggi PFAM dalam kenyataan menggesa setiap pasukan agar menghormati serta mematuhi kontrak yang dipersetujui dengan melunaskan tanggungjawab mereka selaku majikan terutama berhubung isu pembayaran gaji.

Menurut kenyataan itu, pembayaran gaji penuh amat mustahak memandangkan pemain turut tidak terlepas daripada pelbagai komitmen dan penambahan kos kehidupan seharian terutama sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami agak berdukacita…dengan segala usaha demi pasukan, bermain dengan sepenuh hati, berjuang tanpa henti, merisikokan diri dengan kecederaan yang boleh menutup karier kami, mematuhi segala arahan dan obligasi dalam kontrak, tetapi ketika kita semua berhadapan ancaman segetir ini, ada pasukan melihat kami sebagai liabiliti.

“Isu pemotongan mahupun penangguhan gaji tidak seharusnya dibangkitkan ketika ini. Adalah sangat tidak adil menjadikan pemain sebagai mangsa untuk ‘kemandirian’ kewangan pasukan,” menurut kenyataan itu.

Pendirian PFAM itu susulan saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang meminta pasukan dan pemain berbincang serta bertolak ansur dalam menangani krisis dihadapi industri bola sepak tempatan.

Terdahulu, beberapa pasukan menyuarakan kebimbangan terhadap masalah kewangan yang dihadapi mereka, dengan desas-desus menyatakan gaji pemain bakal dipotong demi kelangsungan kantung pasukan sehingga liga bersambung kembali.

Justeru, PFAM berharap pasukan dapat meneruskan pembayaran gaji kepada pemain seperti yang termeterai dalam kontrak dan melunaskan baki gaji yang masih tertunggak kepada mana-mana pemain terlibat.

Dalam pada itu, PFAM turut mengingatkan ahlinya untuk sentiasa mematuhi arahan PKP dan mengutamakan kesihatan diri selain memastikan kecergasan berada pada tahap optimum seperti yang termaktub dalam kontrak masing-masing.

Sementara itu, PFAM memuji inisiatif diambil barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bersedia menyumbangkan sebahagian daripada pendapatan mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi membantu Kerajaan Negeri Johor meringankan beban mereka yang terjejas berikutan penularan wabak penyakit berjangkit itu di negeri berkenaan.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");