Berita Hari Ini
Like

COVID-19: Singapura Batal Pasport Warga Langgar Notis Duduk Di Rumah

March 29, 2020
322 Views
0 Comments
2 minutes read
COVID-19: Singapura Batal Pasport Warga Langgar Notis Duduk Di Rumah

SINGAPURA – Pihak berkuasa Singapura bertindak membatalkan pasport seorang warganya yang melanggar notis duduk di rumah susulan wabak COVID-19.

Menurut Bernama, lelaki berumur 53 tahun itu diberi notis itu pada 19 Mac sejurus tiba di Singapura menerusi terminal feri Tanah Merah selepas ke Batam, Indonesia pada 3 Mac, menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) republik itu.

Singapura telah mengumumkan bahawa berkuatkuasa 16 Mac, semua pelancong yang masuk ke republik itu selepas mengembara ke mana-mana negara ASEAN yang lain dalam tempoh 14 hari sebelumnya mesti kekal di rumah mereka untuk tempoh 14 hari.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan pergi semula ke Indonesia pada hari yang sama meskipun pegawai ICA memberi amaran kepadanya bahawa dia akan dianggap melanggar notis untuk duduk di rumah dan berdepan penalti, kata ICA.

Pada 24 Mac, beliau kembali ke Singapura melalui Pusat Pelayaran Singapura, dan diberikan notis duduk di rumah 14 hari yang kedua, berkuatkuasa sehingga 7 April.

Menurut ICA lelaki itu telah menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab dengan tidak mematuhi perintah yang pertama agar duduk di rumah, justeru, pasportnya dibatalkan dan kes itu dirujuk ke Kementerian Kesihatan untuk siasatan.

Ia menyebut bahawa pesalah juga boleh didakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit, dan denda sehingga S$10,000 (kira-kira RM30,300) atau sehingga enam bulan penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berkuatkuasa 27 Mac, semua pelancong termasuk penduduk Singapura, jika memasuki Singapura perlu mengemukakan pengisytiharan kesihatan dan perjalanan sebelum mendapatkan pelepasan Imigresen.

Penalti akan dikenakan jika memberi maklumat palsu atau mengelirukan sehingga S$10,000 dan atau penjara sehingga enam bulan manakala bagi kesalahan seterusnya, denda sehingga S$20,000 (kira-kira RM60,600) dan atau penjara sehingga 12 bulan.

Bagi bukan warga Singapura, tindakan lain yang mungkin dikenakan oleh kerajaan Singapura seperti pembatalan atau pemendekan kesahihan permit atau pas untuk kekal di Singapura, kata ICA.

Komen & Pendapat

Comments are closed.