Berita Hari Ini

COVID-19: Tiada lockdown, hentikan pembelian panik – Polis

PETALING JAYA: Penularan berita palsu kononnya kerajaan bakal mengumumkan perintah berkurung atau ‘lockdown’ susulan penularan COVID-19 menyebabkan segelintir penduduk di sekitar daerah ini dikesan membuat pembelian panik membabitkan barangan keperluan harian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata tindakan beberapa pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu menerusi media sosial dan dikongsi antara satu sama lain menyumbang kepada kejadian itu.

“Perkara itu menyebabkan segelintir penduduk di beberapa lokasi dalam kawasan pentadbiran polis Petaling Jaya menjadi panik dan mengambil tindakan membuat pembelian barang-barang keperluan harian dalam jumlah yang banyak sebagai persiapan.

“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian, orang ramai mula menyerbu premis-premis perniagaan untuk mendapatkan bekalan keperluan berkenaan sejak beberapa hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya ingin menegaskan bahawa setakat ini tiada sebarang arahan perintah berkurung berikutan wabak COVID-19 diisytiharkan oleh kerajaan.

“Justeru kita minta orang ramai supaya sentiasa membuat semakan daripada semasa ke semasa menerusi agensi yang bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Orang ramai juga boleh menghubungi balai-balai polis yang berhampiran untuk mendapatkan sebarang pengesahan,” jelas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");