Perak Hari Ini

Covid-19: Tiada Solat Jemaah Di Masjid Perak Bermula Hari Ini

IPOH- Tiada solat berjemaah di masjid atau surau dan solat Jumaat di Perak bermula solat Maghrib 17 Mac sehingga solat Isyak 31 Mac 2020 bagi mengelak penularan wabak koronavirus (COVID-19).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Datuk Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah mengadakan mesyuarat tergempar pada 14 Mac 2020, secara khusus membincangkan situasi wabak koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan semakin kritikal.

“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak bersetuju untuk tidak melaksanakan solat secara berjemaah bermula solat Maghrib pada 17 Mac sehingga solat Isyak 31 Mac 2020 dan solat jumaat dalam tempoh berkenaan di semua masjid dan surau di negeri Perak.

“Masjid, surau dan musala yang terletak dalam kawasan yang telah ditemui terdapat pesakit positif Covid-19, hendaklah ditutup, sehingga selesai dilakukan kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman dan hanya dibenarkan berfungsi semula setelah mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun katanya dalam satu kenyataan, solat Jumaat wajib diganti dengan menunaikan solat Zohor di rumah masing- masing.

Tambah beliau, semua aktiviti kelas agama, kuliah dan pengajian di masjid, surau dan musala turut dibatalkan untuk meminimumkan pendedahan.

“Hanya pegawai masjid yang bertugas (seorang imam, seorang bilal dan seorang siak) hadir untuk memenuhi tugas melaungkan azan dan memenuhi keperluan fardu kifayah menyempurnakan solat secara berjemaah dalam sesuatu kariah pada sesuatu waktu solat.

“Laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan hay’alatain kepada Solatlah di rumah kamu, berdasarkan riwayat al -Bukhari (668) dan Muslim (699) daripada Ibn ‘Abbas RA,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");