Berita Hari Ini

Di mana Najib pada 11 Januari 2010?

KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebenarnya memang berada di Riyadh, Arab Saudi pada 11 Januari 2010, belum dapat dibuktikan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Ia berikutan, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Amir, 48, yang sepatutnya mengemuka bukti mengenai keberadaan Najib pada prosiding pagi tadi, belum mendapat maklumat diperlukan.

Mohd Nasharudin yang juga bekas pegawai penyiasat kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata beliau belum menerima input berkaitan maklumat yang diminta pendakwaan.

Menurut saksi pembelaan itu, beliau pada masa sama meminta bantuan daripada pegawai penyiasat kes 1MDB untuk mendapatkan maklumat berkenaan.

Mohd Nasharudin berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International yang dihadapi Najib.

Persoalan mengenai keberadaan Najib pada tarikh itu timbul dalam prosiding pada minggu lalu selepas terdapat dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di Kuala Lumpur bagi perasmian ibu pejabat 1MDB di Menara IMC, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Sehubungan itu, Sithambaram meminta saksi pembelaan kesembilan itu untuk melakukan pemeriksaan dan mengemuka kepada mahkamah maklumat mengenai keberadaan Najib pada tarikh terbabit.

Melalui keterangan saksi pembelaan sebelum ini, iaitu bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menyatakan bahawa Najib berada di Arab Saudi bagi sesi lawatan pada 11 Januari hingga 16 Januari 2010.

Sementara itu, Mohd Nasharudin mengemuka kepada mahkamah buletin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menunjukkan bahawa Jamil Khir berada di Kuala Lumpur merasmikan satu majlis pada tarikh berkenaan.

Ini bertentangan dengan testimoni bekas menteri itu sebelum ini bahawa beliau berada di Arab Saudi bagi menghadiri pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pada 11 Januari 2010 untuk membincangkan mengenai derma politik yang sepatutnya diterima Najib.

Jamil Khir dalam keterangannya sebelum itu mengakui beliau berada bersama ketika Najib bertemu dengan Raja Abdullah, ketika kedua-dua pemimpin berkenaan berbincang mengenai derma terbabit yang akan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Berdasarkan kepada keterangan Jamil Khir, pertemuan tidak rasmi itu berlangsung di Istana Raja Abdullah di Riyadh dan beliau (Jamil Khir) berada di sana atas kapasiti menteri yang menguruskan hal ehwal agama.

Mohd Nasharudin yang ditanya lanjut mengenai buletin terbabit berkata, edisi Februari buletin itu turut mengandungi gambar Jamil Khir pada majlis berkenaan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan bekas penasihat undang-undang MIC, Datuk Selva Mookiah akan memberikan keterangan sebagai saksi pembelaan esok.

Katanya, pihak pembelaan sudah menyerahkan sepina kepada Latheefa, manakala sesi temu bual akan dijalankan dengan Mookiah pada malam ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");