Sukan Hari Ini

Eki Tidak Menyerah Kalah, Harap Tuah Musim 2020

KUALA LUMPUR – Penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi berazam memanfaatkan musim Liga Malaysia (Liga-M) 2020 untuk membina kembali karier supaya terus mendapat kepercayaan dan kekal relevan di posisi serangan skuad ‘The Bos Gaurus’.

Keazaman itu hadir selepas beliau pada musim lepas jarang diturunkan sebagai penyerang utama apabila gagal menyaingi bekas penyerang import dari Brazil Ronaldo Henrique Silva sekali gus menjejaskan prestasinya dan hanya meledak dua gol sepanjang musim.

Namun, pada aksi pembukaan Liga Super, Sabtu lepas, Muhammad Shahrel diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Perak melakar kejayaan 3-1 menewaskan Terengganu FC dan beliau mahu terus berusaha keras bagi mempertahankan posisinya itu.

“Musim 2019 memang bukan tahun saya dan jarang sangat bermain kerana Ronaldo ketika itu sentiasa menjadi pilihan untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Paling penting sekarang saya nak membuktikan mampu galas tugas dalam kesebelasan utama walaupun bersaing dengan pemain import,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini, lapor Bernama.

Bekas pemain PKNP FC itu turut menyasarkan menjadi penjaring terbanyak yang merupakan sasaran peribadinya musim ini sekali gus menjadikan ia sebagai motivasi untuk berusaha lebih keras dalam latihan.

“Saya berjaya tonjolkan prestasi terbaik ketika dalam pramusim untuk mendapatkan kepercayaan jurulatih dan terus diturunkan dalam perlawanan pertama berdepan Terengganu. Ia satu permulaan yang bagus buat pasukan dengan kemenangan 3-1,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan ‘Eki’.

Bakal berdepan Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil esok dalam perlawanan kedua, Shahrel mengintai peluang mencetak nama sebagai penjaring, namun menegaskan ia bakal menjadi perlawanan sengit dengan adanya kelibat bekas rakan sepasukan, Brendan Gan yang kini bersama Gergasi Merah.

“Berdasarkan prestasi Perak, peluang itu seimbang untuk Perak dan Selangor masing-masing menampilkan aksi terbaik bagi merebut tiga mata. Selangor juga sudah tunjuk belang, dan saya percaya untuk perlawanan kedua ini, macam-macam boleh berlaku iaitu kami perlu bekerja keras,” jelasnya.

Selangor meraih tiga mata pertama Liga Super selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada aksi pembukaan, Sabtu lepas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");