Berita Hari Ini

Fama wujud pusat jualan barangan segar terkawal di 97 lokasi

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan membuka pusat jualan barangan segar terkawal di 97 lokasi seluruh negara dalam waktu terdekat, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perincian pusat jualan itu merangkumi 10 pasar tani terpilih, pasar tani kekal (33), pusat operasi Fama (17), MyFarm outlet (tiga), Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (34), dan Kompleks Jabatan dan Agensi yang bersesuaian.

“Walaupun kita benarkan rakyat kita berbelanja dengan pilihan lebih banyak di pasar-pasar basah termasuk pasar tani, Prosedur Operasi Standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ditentukan oleh kerajaan, mesti dipatuhi.

“(Keputusan ini dibuat) bagi mengawal kesesakan pasar basah di waktu pagi…agak sukar untuk mengawal dari segi jarakan sosial jarak satu meter dan kami dapati kesesakan berlaku di pasar-pasar basah pagi ini, kerana kekurangan pilihan produk basah yang lain,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Covid-19 bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Ismail Sabri berkata, kategori produk yang dibenarkan dijual di pusat jualan barangan segar terkawal itu adalah sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit dan barangan asas tani.

Katanya waktu operasi pasar tani terpilih di tapak tidak kekal ialah dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari, dua kali seminggu.

Pusat Operasi Fama, pasar tani kekal dan MyFarm outlet, akan beroperasi setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang.

“Gerai-gerai yang berniaga akan dijarakkan supaya tidak timbul kesesakan dan sebagainya, pintu masuk dan keluar akan dikawal pihak polis dan tentera. Operasi bagi pasar borong tetap berjalan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, usaha membuka lebih banyak pusat jualan barangan segar itu juga dapat membantu petani, yang mempunyai masalah untuk memasarkan produk mereka.

Katanya banyak kalangan petani merungut terpaksa menanggung kerugian, kerana hasil tanaman mereka tidak laku dan pemborong juga tidak mahu membeli, hasil tanaman mereka.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata pengurusan lebuh raya PLUS, ANIH, LATAR, MEX, PROLINTAS, KESAS, GRAND SAGA dan GRAND SEPADU, telah bersetuju untuk melaksanakan pengecualian sewa kedai selama enam bulan di kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang lebuh raya di bawah seliaan mereka.

“Kerajaan berterima kasih atas keprihatinan syarikat-syarikat ini, dan berharap ramai lagi akan tampil kehadapan memberi bantuan,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");