Berita Hari Ini

‘Hantu putih’ usik orang tak patuh PKP

Baru-baru ini, gambar susuk putih seakan berdiri di atas van, tular di media sosial.

Susuk berselubung putih, berambut putih dan berwajah putih itu mencuri perhatian banyak pihak yang memandangnya sebagai cara kreatif mengusik orang ramai yang masih tidak mengendahkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan di seluruh negara.

Dalang di sebalik ‘hantu putih’ itu, Muhd Urabil Alias, 38, mengaku dia tidak menyangka gambar yang diambil malam 28 Mac itu akan tular.

Kata Urabil, sebagai ejen perkapalan yang tergolong dalam perkhidmatan penting, dia masih perlu melunaskan tanggungjawab untuk membuat penghantaran di banyak lokasi sepanjang tempoh PKP.

Namun, katanya, sepanjang menjalankan tugas, dia mendapati masih terlalu ramai orang yang tidak patuh arahan PKP di merata-rata tempat.

Dari situlah katanya tercetus idea untuk memuat naik gambar mengusik yang diambil pada waktu malam, hanya betul-betul di tepi rumahnya di Kampung Tempurung, Chukai, Kemaman, di Terengganu.

Jelas Urabil, dia dibantu isterinya untuk mengambil gambar itu, sebelum dimuat naik pada hari sama.

Jelasnya, rancangan asalnya memang untuk memberi peringatan kepada orang lain agar arahan PKP dipatuhi, namun menyatakan, pada mulanya dia memuat naik di Facebooknya hanyalah untuk tatapan dan peringatan buat keluarga dan rakan terdekat sahaja.

“Bila dah muat naik, tengok-tengok macam itu punya ramai orang tengok, saya (sampai) fikir nak padam balik,” katanya kepada Malaysiakini sambil ketawa.

Malah, ketika gambar itu diambil di tapak parkir miliknya itu, tiada orang yang lalu-lalang di situ memandangkan taman perumahannya memang agak sunyi dengan hanya mempunyai sepuluh biji rumah sahaja.

“Sebenarnya itu topeng Gandalf (watak dalam filem Lord of The Rings). Tapi bila kita pakai, ambil gambar dari jauh macam tu, orang tak nampak macam Gandalf,” jelasnya.

Bagi Urabil, aksi penyamaran seperti itu bukanlah asing buat dirinya memandangkan sebelum ini pun, dia memang ada membuat kerja-kerja sambilan sebagai badut di majlis sambutan hari jadi dan acara-acara lain.

Gambar yang dimuat naik pada 28 Mac itu turut disertai kapsyen nakal: “Abang Rela, polis, tak ada kerja kosong bertugas ke malam ni? Bosanlah duduk seorang-seorang”, disertai tanda pagar #stayathome dan “(kalau) degil kita pergi mengusik”.

Ia tular sehingga mendapat 3,500 perkongsian dan lebih 1,500 komen di Facebook.

Kerajaan menguatkuasakan PKP dari 18 Mac hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19. Perintah itu telah dilanjutkan hingga 14 April.

Bermula 1 April nanti, penguatkuasaan fasa kedua yang lebih ketat akan dikuatkuasakan, antaranya pelaksanaan satu orang, satu kenderaan.

Kata Urabil, berkuat kuasa semalam, ejen perkapalan seperti dirinya juga sudah tidak dibenarkan untuk bergerak ke pelbagai lokasi, sebaliknya hanya dibenarkan bekerja di satu tempat sahaja.

Buat orang ramai, Urabil menasihatkan agar setiap orang mematuhi PKP seperti yang dianjurkan kerajaan bagi membantu membendung penularan wabak Covid-19.

“Jangan sampai kena tangkap, jangan sampai bawa penyakit, jangan sampai kena usik dengan hantu,” katanya sambil ketawa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");