Berita Hari Ini

Harapan Baharu Bela Kematian Adib

ALOR SETAR: Pelantikan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara memberi harapan baharu buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bagi menuntut pembelaan atas kematiannya hampir dua tahun lalu.

Menurut Harian Metro, bapa arwah, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, berkata, dia mahu melihat pelaku yang membunuh anaknya ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah pada 27 September lalu, kami menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa tapi sampai sekarang tiada sebarang perkembangan.

“Ia sepi begitu saja, harap polis bersungguh-sungguh menjalankan tugas menangkap suspek.

“Jangan buat seperti yang lepas, apabila dah tukar kerajaan dan Peguam Negara baharu ini, biarlah ada jalan baharu juga untuk keadilan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, di sini, semalam.

Bapa kepada empat orang anak ini berkata, dia tidak akan berpuas hati selagi penjenayah yang membunuh anaknya tidak diberkas.

Katanya, dia tidak lagi mahu mendengar alasan yang diberikan sebelum ini seolah-olah mahu menutup kes berkenaan.

“Sebagai ibu bapa, saya dan isteri Asma Aziz, 53, tidak putus berdoa supaya kes arwah anak saya mendapat pembelaan sewajarnya… Saya yakin seluruh rakyat Malaysia juga mengharapkan kebenaran.

“Cuma ‘pemerintah’ sebelum ini cuba menutup kebenaran, rakyat Malaysia tahu perjalanan kes ini dan saya berterima kasih kepada semua yang membantu terutama kepada peguam yang memberikan perkhidmatan percuma kepada keluarga saya.

“Saya difahamkan peguam keluarga saya sedang membawa kes saman terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa ini. Ada surat pemberitahuan mengenainya sampai tiga hari lalu, saya juga berharap kes ini akan berjalan lancar,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");