Berita Hari Ini

‘Hati-hati Sindiket Penipuan KWSP’

KUALA LUMPUR: Menggunakan panggilan telefon, hantar mesej pada aplikasi WhatsApp dan cipta laman sesawang palsu, adalah antara taktik digunakan sindiket penipuan bagi mengumpan mangsa yang mahu mengeluarkan wang pada akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Harian Metro, selepas beberapa jam pengumuman dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu, sudah ada pihak menyamar sebagai ‘wakil’ KWSP menguar-uarkan mengenai ‘kaedah’ pengeluaran wang berkenaan.

Antaranya melalui panggilan telefon oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil KWSP kononnya mahu membantu mangsa memohon pengeluaran wang terbabit.

Selain itu, ada juga individu memperkenalkan diri sebagai ejen dengan menawarkan perkhidmatan membantu mempercepatkan proses permohonan pengeluaran wang berkenaan melalui mesej di aplikasi WhatsApp.

Malah ada sindiket yang mewujudkan laman sesawang palsu KWSP dengan meletakkan ‘maklumat’ seperti syarat permohonan, cara memohon dan semakan secara dalam talian bagi meyakinkan mangsa bahawa ia adalah benar.

Justeru, KWSP dalam kenyataan media, baru-baru ini, memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan pengeluaran bagi ahli atau mengenakan caj untuk semua transaksi pengeluaran.

“Borang permohonan yang lengkap diisi boleh dihantar kepada KWSP mulai 1 April ini melalui beberapa kaedah iaitu secara dalam talian menerusi e-Pengeluaran dalam i-Akaun (ahli), emel pada alamat [email protected] atau hantaran pos di alamat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Karung Berkunci No 220, Jalan Sultan 46720, Petaling Jaya dengan catatan (UP:i-Lestari) pada bahagian hadapan sampul surat.

“Ahli disarankan untuk menghantar permohonan secara dalam talian (e-Pengeluaran) untuk mempercepatkan proses kelulusan kerana permohonan secara manual yang dihantar melalui kaedah emel dan pos akan mengambil masa lebih lama untuk diproses.

“Permohonan pengeluaran oleh ahli bukan warganegara Malaysia pula hanya boleh dihantar melalui kaedah emel dan pos,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi hari ini memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung penipuan terbabit setakat ini.

“Bagaimanapun kami ada menjalankan pemantauan terutama di media sosial mengenai kewujudan laman sesawang atau mesej daripada sindiket penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan KWSP sekiranya ada laman sesawang yang menjurus kepada pihak berkenaan sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan bahawa pencarum KWSP dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan bagi meringankan beban kos sara hidup akibat impak wabak Covid-19 pada 23 Mac lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");