Perak Hari Ini

Ingkar PKP: 26 Individu, Tujuh Remaja Bawah Umur Dihadap Ke Mahkamah

IPOH: Seramai 26 individu dan tujuh remaja bawah umur yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, dekat sini, hari ini.

Kesemua tertuduh yang berusia 12 sehingga 49 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Mohammad ‘Afifi Mohammad.

 

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh termasuk empat wanita ditahan ketika pihak Polis membuat tugasan Pemantauan Ops Covid-19 di beberapa lokasi dekat sini antara 22 sehingga 30 Mac lalu.

Berdasarkan fakta kes, ada antara mereka yang ditahan ketika sedang bermain takraw, bermandi-manda di kawasan air terjun, dan ada yang ditahan ketika sedang melepak dan mahu meminum arak.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Majistret memutuskan kesemua 26 individu itu didenda RM1,000 atau dikenakan penjara dua bulan jika gagal membuat demikian.

Sementara itu, salah seorang tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dia yang menghadapi dua pertuduhan itu turut dikenakan denda RM6,000 dan penjara selama 10 bulan jika gagal berbuat demikian.

Bagi tujuh remaja bawah umur, mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 bagi setiap seorang dan perlu membuat laporan akhlak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebutan semula akan dijalankan pada 4 Mei.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizawani Ahmad Jalaludin.

Difahamkan prosiding terpaksa dijalankan di Mahkamah Tinggi ekoran kerja-kerja nyah kuman sedang dijalankan di Mahkamah Majistret dekat sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");