Berita Hari Ini

Insentif potongan cukai kepada penderma tangani COVID-19 – LHDN

Insentif potongan cukai akan diberikan kepada mereka yang menderma wang tunai atau barangan yang akan digunakan untuk menangani penularan COVID-19 serta membantu rakyat yang terkesan dengan wabak itu, umum Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pada masa ini, insentif yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah untuk Tabung COVID-19 Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan sumbangan tunai dan barangan.

Insentif turut diberikan bagi Tabung COVID-19 di bawah Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri bagi jenis sumbangan tunai sahaja dan derma kepada institusi organisasi yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967, katanya.

Bagi sumbangan berbentuk peralatan atau barangan untuk menangani wabak COVID-19, LHDN memaklumkan penyumbang perlu mendapatkan surat akuterima sumbangan daripada penerima berserta dengan cop rasmi mengikut format yang akan dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF).

“Pembayar cukai yang menderma dinasihatkan supaya menyimpan rekod transaksi sebagai bukti dan pastikan resit/dokumen disimpan dengan rapi agar ia boleh dibuat rujukan ketika pengisian Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2020 dan semakan oleh LHDN,” katanya.

Menurut LHDN, bagi transaksi derma tunai kepada Tabung COVID-19 KKM dan Pengurusan Bencana Negara, dokumen yang diterima ialah resit rasmi kerajaan (Kew.38); slip pindahan wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM); slip mesin deposit cek; slip deposit melalui kaunter bank; slip pembayaran dalam talian; dan slip pindahan melalui Interbank Giro.

Turut diterima ialah resit Real Time Electronic Transfer Fund and Securities Systems (RENTAS) dan resit telegraphic (TT) bersama advice of credit.

Bagi derma peralatan atau barangan kepada Tabung COVID-19 Kementerian Kesihatan, LHDN menyatakan dokumen yang diterima adalah surat kelulusan asal oleh MOF; resit rasmi atau surat akuterima sumbangan daripada badan penerima; dan surat pengesahan nilai perkhidmatan atau nilai kos projek daripada agensi kerajaan berkaitan.

Untuk derma tunai kepada institusi atau organisasi yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) [Kelulusan Ketua Pengarah LHDN], dokumen yang diperlukan adalah resit rasmi institusi atau organisasi yang telah diiktiraf oleh LHDN.

LHDN turut menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan kesahihan organisasi sebelum membuat sebarang sumbangan bagi mengelakkan penipuan.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");