Berita Hari Ini

Istana Negara Nafi Pelantikan PM Baharu Adalah ‘Royal Coup’

KUALA LUMPUR: Istana Negara hari ini menafikan sekeras-kerasnya langkah yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dalam pelantikan Perdana Menteri baru-baru ini adalah ‘royal coup’ (rampasan kuasa oleh Raja) seperti ditulis oleh agensi berita The Guardian.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, artikel The Guardian itu adalah sama sekali tidak tepat dan cubaan mengelirukan masyarakat antarabangsa mengenai isu pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, saya sangat terkejut dengan tahap ketidaktepatan serta pendirian editorial yang mengelirukan oleh agensi berita berpangkalan di United Kingdom ini.

“Apatah lagi mengambil kira fakta bahawa subjek artikel mereka, iaitu Demokrasi Parlimen di Malaysia sebenarnya diasaskan dari Sistem Westminster.

“Artikel itu jelas menunjukkan fakta yang terpesong mengenai langkah yang diambil Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri baharu,” katanya lagi.

Ahmad Fadil berkata, secara faktanya Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Perdana Menteri baharu ekoran perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinetnya

“Apabila Dr Mahathir memaklumkan kepada Agong pada tengah hari 24 Feb, bahawa beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat, dan terpaksa meletak jawatan, Tuanku mempunyai tanggungjawab di bawah Artikel 40(2)(a), iaitu menggunakan kebijaksanaan Baginda untuk melantik Perdana Menteri baharu.

“Baginda juga tertakluk kepada Perkara 43(2)(a) untuk melantik Perdana Menteri yang pada pandangan Tuanku seorang ahli Dewan Rakyat yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti,” katanya lagi.

Ahmad Fadil menjelaskan lanjut, Baginda Tuanku jelas melakukan langkah yang lebih daripada apa yang sepatutnya dengan memanggil kesemua Ahli Dewan Rakyat serta ketua-ketua parti politik bagi membolehkan Tuanku mendapat pandangan yang lebih jelas.

“Ia hanya selepas langkah konsultansi yang ketat dan terbuka, selaras dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, barulah Tuanku menggunakan kebijaksanaan Baginda bagi melantik Perdana Menteri.

“Jadi, tiada sebab langsung untuk langkah ini dianggap sebagai ‘royal coup’ seperti yang ditulis oleh The Guardian, yang secara terang-terangan bersikap berat sebelah dalam penulisan mereka,” kata Ahmad Fadil lagi.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Wisma Putra serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London atas reaksi pantas dalam menyanggah penulisan itu.

Selain itu, Ahmad Fadil berkata, penghargaan juga turut diberikan kepada rakyat Malaysia, yang tidak mengira agama, bangsa serta fahaman politik, dan juga ahli politik senior dan ahli Dewan Rakyat yang turut sama-sama membantah editorial The Guardian lapor Astro Awani.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");