Berita Hari Ini

Isu Kekurangan Topeng Muka, Cecair Pembasmi Kuman Di Bawa Ke Kabinet

KUALA TERENGGANU – Isu kekurangan topeng muka dan cecair pembasmi kuman yang dialami di seluruh negara akan dibincang di peringkat Kabinet Rabu ini.

Memetik Sinar Harian, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, situasi itu berlaku berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

“Saya difahamkan masalah kekurangan topeng muka dan cecair pembasmi kuman yang dialami di seluruh negara ketika ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu depan.

“Menteri (Datuk Alexander Nanta Linggi) juga telah membuat keputusan supaya akan dipertimbangkan apa yang ada di dalam negara sekarang ini tidak akan dieksport ke luar negara bagi memastikan bekalan mencukupi di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan kerja ke pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya pengguna tidak membuat pembelian panik bagi mengelak peniaga menaikkan harga barang.

“Kita harap masyarakat tidak mempercayai apa yang ditularkan di media sosial yang mengatakan situasi kini amat genting menyebabkan ada antara pengguna yang menyerbu ke pasar raya dan membuat pembelian panik.

“Tidak perlu membuat pembelian panik kerana keadaan negara kita terkawal. Walaupun situasi agak teruk, tetapi masih terkawal.

“Jadi, kita harap pengguna bertindak bijak. Jika itu dapat dilakukan, insya-ALLAH harga barang juga akan terkawal,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Rosol turut menyarankan kepada peniaga supaya mempertimbangkan harga barangan dijual ekoran penurunan harga minyak.

“Harga minyak turun, tetapi harga barang tidak turun-turun bukan satu perkara yang baharu.

“Justeru, kita harap perubahan harga barangan akan berlaku selari dengan penurunan harga minyak.

“Tiada alasan untuk menaikkan harga barangan atau mengekalkan harganya dalam keadaan harga minyak turun buat masa ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");