Berita Hari Ini

Jangan Salahguna Gelaran Demi Kepentingan Peribadi- Sultan Nazrin

KUALA KANGSAR- Gelaran yang disandang, penempatan menjalankan tugas di pejabat dan istana yang berkaitan, jangan sama sekali disalahgunakan untuk mendapat laba bagi memenuhi kepentingan peribadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, semua ahli Dewan Negara Perak, begitu juga semua Orang Besar Negeri, Orang Besar Jajahan, pegawai dan kakitangan di pejabat masing-masing, termasuk yang ditempatkan bertugas di Pejabat Sultan, di Pejabat Raja Muda dan di Pejabat Raja Di Hilir, begitu juga kakitangan yang ditempatkan bertugas di istana masing-masing, bertanggungjawab mempertahan, menjaga nama baik dan mendaulatkan institusi kesultanan.

“Gelaran yang disandang, dan penempatan di jawatan tertentu, tidak boleh sama sekali disalahgunakan untuk dijadikan platform memohon pelbagai manfaat daripada kerajaan, badan perniagaan juga individu, atau untuk diizinkan berperanan sebagai perantaraan secara memberikan surat sokongan dan arahan kepada kerajaan, atau membuka laluan untuk tujuan perniagaan mana-mana pihak.

“Kepala surat rasmi, cap rasmi dan surat rasmi, hendaklah sama sekali tidak digunakan untuk tujuan-tujuan sedemikian yang boleh memalitkan nama buruk dan mencemarkan institusi kesultanan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-169 di Istana Iskandariah selepas Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar ke-13 di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Titah baginda, Baginda telah berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak kedua belas diikuti sekali gus dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

“Setelah menimbang dan meneliti segala perkara, Beta telah memperkenankan Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13 dan stiadat angkat sumpah jawatan telah pun disempurnakan sebentar tadi,” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut bertitah yang mana telah ditetapkan di dalam takwim, tarikh sambutan rasmi ulang tahun keputeraan Baginda kali ke-64, jatuh pada hari Jumaat, 6 November 2020.

“Majlis Santapan Malam akan diadakan pada hari Sabtu, 7 November, sementara istiadat kawalan kehormatan, menjunjung duli dan penganugerahan darjah kebesaran negeri akan diadakan pada hari Ahad, 8 November 2020.

“Disebabkan sambutan Hari Deepavali jatuh pada hari Sabtu, 14 November 2020, tarikh penganugerahan darjah dan pingat kali kedua, serta istiadat menutup kerja, hendaklah diadakan pada hari Sabtu, 21 November 2020, dan larian Sultan Nazrin Shah, diadakan pada hari Ahad, 22 November 2020,” titah baginda.

Dakam pada itu, baginda turut memohon ihsan Allah S.W.T dan pertolongan semoga rakyat dapat dijauhkan daripada penyakit virus COVID-19.

“Kepada ALLAH kita pohonkan semoga para pemimpin yang telah diamanahkan dengan kuasa diberikan petunjuk dan panduan mengutamakan tanggungjawab untuk memakmurkan negeri dan menyejahterakan hidup rakyat.

“Ancaman daripada wabak virus COVID-19, yang sedang merebak di seluruh dunia mencetuskan suasana kecemasan akibatnya pelbagai aktiviti ekonomi terjejas di serata dunia,” titah baginda lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");