Perak Hari Ini

Kastam Patahkan Cubaan Seludup Rokok Putih Dan Minuman Keras Bernilai RM6.5 Juta

IPOH- Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Perak berjaya mematahkan tiga cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai kira-kira RM6.5 juta.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Penguatkuasaan), Datuk Johari Alifiah berkata uniknya ketiga-tiga kes berkenaan adalah melibatkan kawasan di Lebuh Raya Utara Selatan.

Katanya, kawasan yang terlibat ialah di Lebuh Raya Utara Selatan Arah Utara, Alor Pongsu, Bagan Serai; kawasan susur keluar Tol Plus Juru Arah Utara, Perai, Pulau Pinang dan yang ketiga kawasan Rehat dan Rawat Gunong Semanggol Arah Utara, Bukit Merah.

“Kejayaan ketiga-tiga kes ini merupakan yang terbesar diperoleh pada tahun ini dengan nilai dan cukai ke atas rokok dan minuman keras dianggarkan berjumlah lebih kurang RM6.5 juta.

“Anggaran jumlah batang rokok putih bagi dua kes rokok adalah lebih kurang 5.6 juta batang dan minuman keras jenama beer berjumlah lebih kurang 11,000 tin dan botol atau lebih kurang 6,000 liter,” katanya.

 

“Hasil pemeriksaan bagi kes pertama pada 4 Mac, pasukan Penguatkuasaan Kastam mendapati lori tersebut dimuatkan dengan 3.7 juta batang rokok putih pelbagai jenama dengan nilai dan cukai dianggarkan berjumlah RM4.1 juta.

“Sementara itu, hasil pemeriksaan bagi kes kedua pada 3 Mac di KM 141.60 susur keluar Tol Plus Juru Arah Utara, pihak Kastam mendapati terdapat sebuah lori yang dimuatkan dengan 1.9 juta batang rokok putih pelbagai jenama dengan nilai dan cukai dianggarkan sebanyak sebanyak RM 2 juta,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi kes ketiga, pasukan Kastam telah membuat pemeriksaan ke atas lori yang di letakkan di KM 196 kawasan Rehat & Rawat Gunong Semanggol Arah Utara dan berjaya merampas minuman keras jenama beer sebanyak lebih kurang 11,000 tin atau botol atau lebih kurang 6,000 liter beer.

“Nilai dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM200,000, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan pemandu dan pemilik lori tersebut untuk diambil tindakan undang-undang serta menyiasat peranan suspek disebalik kes,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Sek. 135(1).

Bagi kesalahan tersebut boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai duti atau RM100,000 mengikut mana yang paling tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai duti atau RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau boleh dipenjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih dari 5 tahun atau kedua-duanya sekali

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");