Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Akan Salur RM500 Seorang Kepada Setiap Pengerusi MPKK

IPOH: Kerajaan Perak memperuntukkan RM493,000 kepada semua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di seluruh negeri bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Bantuan Elaun Khas itu akan diagihkan RM500 seorang kepada setiap 986 Pengerusi MPKK di Perak.

Ujarnya kepentingan rakyat harus diutamakan selain ia membuktikan kerajaan tidak berpolitik sewaktu krisis wabak Covid-19 yang melanda negara kini.

“Pengerusi MPKK agak terkesan dengan peralihan pentadbiran Kerajaan Negeri. Namun, di waktu begini, mereka meneruskan khidmat bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Untuk menghargai usaha tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan Bantuan Elaun Khas sebanyak RM500 seorang kepada 986 Pengerusi MPKK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas Menteri Besar Perak, di sini, hari ini.

Selain itu, Menteri Besar mengumumkan bantuan tambahan kepada petugas barisan hadapan yang melibatkan pengutip sampah, pemotong rumput dan pegawai penguatkuasa.

Jelasnya Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan RM300 seorang kepada golongan tersebut yang akan dibayar secara ansuran selama tiga kali.

Katanya peruntukan berjumlah RM780,000 itu akan memberi manfaat kepada 2,600 wira yang tidak didendangkan.

Pada masa sama, ujar beliau bantuan makanan kepada 7,150 petugas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, RELA, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kos hampir RM 2.5 juta telah mula disalurkan.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata Perak telah membuka dua stesen kuarantin sebagai usaha memutuskan rantaian penyebaran Covid-19.

“Stesen yang pertama bertempat di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan dan yang kedua bertempat di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai.

“Stesen-stesen ini mampu menampung sehingga 240 individu. Sebanyak RM651,000 diperuntukkan bagi pembelian pelbagai kelengkapan dan peralatan serta makan minum,” jelas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");