Panasnya Hari Ini

“Kita Tengoklah Siapa Menang Nanti…” – Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah medan terbaik untuk ahli memilih sama ada beliau atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil mengakui BERSATU kini sudah berpecah dua kumpulan, bekas Perdana Menteri bagaimanapun berkata, situasi itu adalah suatu kelaziman yang dialami semua parti politik.

“Tidak lama lagi ada pemilihan BERSATU, mungkin dia akan bertanding dan saya juga akan tanding. Kita tengoklah siapa menang tetapi kerajaan tidak akan jatuh.

“Orang yang menyebelahi dia pegang jawatan, (jadi) kerajaan tidak (akan) jatuh. Tinggal lagi dia mungkin tidak lagi jadi pemimpin BERSATU,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Putrajaya, kelmarin.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, susulan perkembangan politik semasa yang menyaksikan isu perpecahan dalam kalangan Melayu semakin meruncing, golongan majoriti itu kini bukan lagi dianggap ‘kingmaker’ atau kelompok penentu.

“Sekarang kalau hendak menang, mesti dapat sokongan bukan Melayu. Jadi mereka (bukan Melayu) menjadi ‘kingmaker’ kerana kita (orang Melayu) berpecah,” katanya.

Pada 5 Februari lalu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya dilaporkan berkata, pimpinan parti di peringkat bahagian dan cawangan menyatakan sokongan supaya jawatan pengerusi, presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Bagaimanapun, perkara itu dijangka berubah susulan krisis politik yang melanda negara hujung bulan lalu yang menyaksikan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pagoh itu mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas BERSATU memutuskan keluar Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Persekutuan dibentuk hasil kerjasama BERSATU, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dr Mahathir selaku pengerusi dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Timbalan Presiden BERSATU bagaimanapun hingga kini kekal dalam kerjasama dengan PH.

Krisis berkenaan turut menyaksikan kerajaan negeri PH diterajui BERSATU di Johor tumbang, manakala kedudukan kerajaan negeri pakatan BERSATU dan PH di Kedah kini goyah. BERSATU juga mungkin hilang kerusi Menteri Besar di Perak.

Pendaftaran pencalonan untuk pertandingan di peringkat MPT, Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU akan diadakan pada 16 Mac.

Ia membabitkan jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, pengerusi, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 20 ahli jawatankuasa (AJK).

Bagi Jawatankuasa Srikandi dan ARMADA, ia membabitkan pendaftaran pencalonan untuk jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, ketua, naib ketua dan 15 AJK.

Sejumlah 189 bahagian BERSATU di seluruh negara dijadual mengadakan persidangan masing-masing serentak pada 18 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan BERSATU, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar, sebelum ini dilaporkan berkata pucuk pimpinan menetapkan 20 Jun ini untuk mengadakan mesyuarat dan Perhimpunan Agung Tahunan, serentak dengan pemilihan parti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");