Berita Hari Ini

‘Maaf,Tun M Tak Salam Demi Kesihatan’

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara di sini, hari ini, adalah atas faktor kesihatan.

Memetik BH Online, usai solat Jumaat tengah hari tadi, Dr Mahathir dilihat hanya merapatkan kedua-dua tangan di dadanya sambil diiringi pengawal peribadi, ketika meninggal ruang solat menuju ke keretanya.

Setiausaha Politik kepada Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya, menjelaskan tindakan berkenaan bukan disebabkan beliau tidak sudi bersalaman, sebaliknya demi menjaga kesihatan diri.

“Saya bagi pihak Tun Dr Mahathir memohon maaf kerana ramai yang tidak dapat bersalaman dengan beliau selepas solat Jumaat di Masjid Negara siang tadi.

“Bukan beliau tidak sudi tapi demi menjaga kesihatan. Kita sama-sama berdoa supaya negara kita dijauhi daripada penyakit yang membahayakan,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebooknya, hari ini.

Dr Mahathir, 95, yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara.

Negarawan itu sering bersolat Jumaat di Masjid Negara, terutama apabila datang ke pejabatnya di bangunan Yayasan Al-Bukhary, yang terletak berdekatan masjid itu.

Menjadi kelazimannya, setiap kali hadir solat Jumaat di Masjid Negara, Dr Mahathir akan duduk bersama jemaah lain di bahagian luar sebelah kiri ruang solat utama.

Kehadiran beliau sentiasa menarik perhatian jemaah untuk mendekatinya selepas solat, sama ada untuk bersalaman atau bergambar sama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");