Sukan Hari Ini

Malaysia Belum Muktamad Sertai Olimpik

KUALA LUMPUR: Meskipun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyokong keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang mahu temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengikut jadual asal bermula 24 Julai hingga 9 Ogos ini, namun bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), ia masih belum muktamad sepenuhnya.

Bagi menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, KBS masih kekal dengan pendirian yang keselamatan dan kesihatan atlet menjadi keutamaan selain menanti pengesahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penularan wabak COVID-19.

“Keputusan masih belum muktamad,” kata Reezal. “Saya yakin IOC juga akan mengambil pandangan dan nasihat daripada WHO dan PBB, lapor BH Online.

“Tentu sekali akan berubah dari semasa ke semasa dan kita ada lebih kurang empat bulan lagi daripada tempoh Sukan Olimpik ini dianjurkan dan kita akan lihat dan putuskan secara muktamad bila mana kita melihat perkembangan daripada semasa ke semasa mengenai COVID-19 ini.”

Kelmarin BH Sukan melaporkan MOM mengundi untuk menyokong keputusan IOC yang mahu meneruskan temasya berkenaan mengikut jadual asal meskipun sehari sebelumnya, menyatakan pendirian Olimpik Tokyo wajar ditangguhkan sekiranya COVID-19 bertambah serius dan mendatangkan ancaman kepada keselamatan atlet dan pegawai.

Keputusan itu secara tidak langsung menjadi ‘tanda tanya’ buat bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang turut menyatakan MOM seharusnya mendapatkan pandangan daripada pihak kerajaan sebelum membuat undian yang dilakukan secara persidangan video bersama semua wakil NOC Asia, kelmarin.

“Kita kena berpandukan pada situasi semasa, buat masa ini kita boleh lihat yang keadaan semakin hari semakin ramai dijangkiti. Ini bukan masalah (kepada industri) sukan saja, ini masalah semua negara.

“MOM juga kena rujuk dulu dengan Menteri Belia dan Sukan serta kerajaan. Tidak perlu terburu-buru mereka buat pendirian sekarang untuk sokong IOC dan hantar atlet ke Olimpik,” kata Zolkples.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");