Perak Hari Ini

MB Perak Kesal Masih Ada Gagal Patuh Perintah Kawalan Pergerakan

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan kekesalannya apabila masih terdapat sebahagian rakyat di negeri ini yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya PKP yang sedang dikuatkuasakan ini adalah bertujuan sebagai langkah untuk memerangi dan memutuskan rantaian wabak Koronavirus (Covid-19) daripada terus merebak.

Namun katanya lagi sekiranya rakyat masih gagal mematuhi penguatkuasaan tersebut, usaha itu akan tidak dapat disempurnakan malah keadaan hospital akan bertambah sesak.

“Saya merayu agar orang ramai dapat mematuhi PKP ini dan janganlah sampai kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih keras.

“Saya juga sedih kerana dimaklumkan terdapat kakitangan perubatan negeri yang dijangkiti Covid-19. Kita diminta untuk duduk di rumah sementara mereka terpaksa meninggalkan anak dan isteri untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di hospital.

“Amat tidak adil pada mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk kita, namun kita tidak mengendahkan nasihat dan terus keluar dari rumah.

“Bayangkan sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19, dan orang terpaksa ke hospital. Sudah tentu pesakit yang menghidapi penyakit lain tidak dapat menerima rawatan yang sebaiknya dek kerana kakitangan yang ada terpaksa memberi penumpuan khusus kepada pesakit Covid-19,” katanya.

Sekali lagi beliau turut meminta agar orang ramai dapat mematuhi PKP sebagaimana yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Ahmad Faizal berkata demikian menerusi satu klip video berdurasi sekitar 4 minit di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Pada masa sama beliau turut menyatakan penghargaan kepada pihak swasta yang telah memberikan sumbangan RM200,000 kepada kerajaan negeri melalui Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

Beliau turut menyeru agar mana-mana pihak dapat menyalurkan sumbangan menerusi tabung tersebut yang mana dana sumbangan akan disalurkan kepada golongan sasar yang terjejas akibat Covid-19.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bendahari Negeri Perak CIMB Islamic di nombor akaun 8601170183.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");