Berita Hari Ini

Melayu Tolak Anwar Tidak Betul: Abdullah Sani

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan orang Melayu kerana falsafah politiknya yang liberal.

Menurutnya, kenyataan itu bukan sahaja tidak berasas malah Ahli Parlimen Langkawi itu jelas mempunyai agenda yang tersirat.

“Kalau kata Anwar ditolak (orang Melayu) kenapa kita kuasai kerusi di Parlimen, malah logo yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu juga menggunakan logo PKR yang mencerminkan Anwar.

“Jadi, saya tidak faham mana buktinya Anwar ditolak. Bagi saya ia (kenyataan Dr Mahathir) tidak betul sama sekali,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Abdullah Sani berkata, sebagai bekas Perdana Menteri yang memegang jawatan nombor satu negara atas tiket Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Tanpa kemenangan hasil konsensus PH yang dibentuk sebelum PRU14 lalu, Dr Mahathir tidak mungkin berpeluang menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Saya sendiri tidak faham dengan maksud liberal yang ditujukan kepada Anwar kerana kalau kita lihat dari latar belakang keluarga mereka (Anwar dan Dr Mahathir), saya pasti rakyat dapat menilai siapa yang liberal sebenarnya,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, orang Melayu tidak menyokong Anwar kerana falsafah politiknya yang liberal.

Memetik Sinar Harian melalui satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, bekas Perdana Menteri itu berkata, orang Melayu belum boleh menerima ideologi liberalisme kerana takut kedudukan mereka terancam kerana orang Melayu hari ini hanya ada kuasa politik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");