Perak Hari Ini

“Mereka Yang Nak Jatuhkan MB Perak Adalah Pengkhianat Sebenar” – Ahmad Faizal

IPOH: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan bahawa memang terdapat usaha untuk menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar sebelum ini.

Selain selari dengan perkembangan terkini di persekutuan, perkara tersebut juga merupakan salah satu sebab mengapa beliau memutuskan untuk tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH) di Perak.

“Apabila Bersatu Pusat mengumumkan keluar daripada PH, kita di Perak sudah pasti akan mengambil pendirian untuk sehaluan dengan Bersatu Pusat.

“Lebih-lebih lagi, di Perak kita sedar yang Kerajaan PH yang saya pimpin sebelum ini tidak begitu stabil. ‘It’s an open secret’.

“Macam kalau disebutkan saya sebagai pengkhianat yang kononnya membelot mandat rakyat.

“Jangan lupa pengkhianat mandat rakyat yang sebenarnya ialah mereka yang menjadi Exco, yanh sepatutnya berkhidmat untuk rakyat tetapi lebih sibuk untuk menjatuhkan Menteri Besar dan kerajaan mereka sendiri. Jadi pengkhianatan itu bermula di situ,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Konvensyen Causuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad serta Ketua Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Dalam sidang media itu, Ahmad Faizal mengumumkan bahawa 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Bersatu, Umno dan Pas bakal membentuk kerajaan di Perak.

Ia sekali gus menunjukkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Perak yang dibentuk pada Mei 2018 berakhir sebelum tiba Pilihanraya Umum yang akan datang.

Pada masa sama, Adun Chenderiang itu turut memohon maaf sekiranya rakyat di Perak ternanti-nanti keputusan daripada beliau ekoran suasana baharu politik tanah air masa kini.

“Apabila satu keputusan atau perubahan besar yang dilakukan, kita perlu mengambil masa untuk mempertimbangkan segala perkara dan kita akan lakukanya secara tertib.

“Sebenarnya sejak awal ketiga-tiga parti ini kita telah ada kesepakatan untuk tidak terburu-buru dalam hal ini. Selain itu kita juga mengikuti perkembangan di peringkat persekutuan,” ujarnya.

Tambahnya lagi beliau yakin gabungan baharu Bersatu, Umno dan Pas di negeri ini akan membentuk sebuah pentadbiran yang lebih stabil dan dapat bekerja sama dengan lebih erat dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di persekutuan.

Ditanya berkenaan kedudukan penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) khususnya daripada Bersatu, beliau berkata peranan mereka masih lagi diteruskan.

Walau bagaimanapun katanya kedudukan kesemua ahli majlis di Perak akan rombak dan akan diputuskan senarai nama baharu bagi mengisi kedudukan tersebut.

“Penyelaras Dun khususnya daripada Bersatu, kita akan mengambil langkah untuk memastikan peranan mereka dapat dijalinkan bersama dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bersama dengan gabungan baharu ini.

“Namun jawatan-jawatan seperti ahli majlis dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), kita akan hentikan secara berperingkat.

“Selagi tidak selesai agihan parti untuk lantikan ini, pengerusi MPKK sedia ada harus menjalankan tanggungjawab seperti biasa,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");