Sukan Hari Ini

MOM Saran Tangguh Olimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berpendirian Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung, Julai depan wajar ditangguhkan sekiranya penularan COVID-19 bertambah serius.

BH melaporkan, Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata badan induk itu akan membangkitkan perkara berkenaan pada sesi persidangan video antara IOC dengan semua Jawatankuasa Olimpik Nasional (NOC) pada jam 4 petang, hari ini.

Katanya, penangguhan adalah langkah yang wajar diambil sekiranya penularan COVID-19 berterusan dan mendatangkan ancaman kepada keselamatan atlet dan pegawai.

“Selain itu, ia juga membabitkan isu kelayakan yang mana hampir semua kejohanan ditunda ketika ini. Kita, kalau boleh mahu melihat lebih ramai atlet negara kita layak ke Olimpik Tokyo.

“Jadi, kita akan mengemukakan beberapa cadangan berhubung perkara ini dan kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas selepas sesi persidangan video itu,” kata Norza kepada BH Sukan.

Terdahulu, IOC menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, awal pagi tadi selepas mesyuarat dengan persekutuan sukan antarabangsa, berkata tiada sebarang keputusan drastik akan dibuat berhubung penganjuran Olimpik Tokyo 2020.

Sebaliknya, IOC tetap komited untuk memastikan temasya itu berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan iaitu bermula 24 Julai hingga 9 Ogos biarpun diselubungi penularan jangkitan COVID-19.

Katanya, perbincangan akan dilakukan bersama persekutuan sukan antarabangsa bagi melakukan perubahan mengenai proses kelayakan susulan impak daripada wabak berkenaan.

“IOC kekal komited terhadap penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan berbaki empat bulan lagi sebelum temasya bermula, tidak perlu sebarang keputusan drastik buat masa ini.

“Sebarang spekulasi pada masa ini adalah tidak produktif. IOC menggalakkan semua atlet untuk terus melakukan persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebaik mungkin,” kata kenyataan itu, kurang sejam selepas Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan penangguhan Euro 2020 selama setahun dan akan berlangsung pada 2021.

Perkembangan terbaru itu mendatangkan pelbagai reaksi dalam kalangan atlet, pegawai dan negara bertanding termasuklah ada yang mengkritik keputusan itu dengan IOC dianggap tidak sensitif dan tidak menghiraukan keselamatan atlet dan pegawai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");