Berita Hari Ini

Muhyiddin umum senarai kabinet petang ini

Penantian untuk melihat susunan kabinet Muhyiddin Yassin dijangka berakhir beberapa jam saja lagi.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Muhyiddin dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada jam 11 pagi ini.

Istiadat itu, kata PMO, adalah untuk mempersembahkan senarai baru jemaah menteri yang dipilih Muhyiddin.

“Setelah mendapat perkenan Agong, perdana menteri dijangka akan mengumumkan senarai jemaah menteri pada jam 5 petang hari ini di pejabat beliau di Putrajaya,” kata PMO.

Pengumuman berkenaan memang ditunggu-tunggu ramai.

Selain dianggap begitu lama untuk dibentuk, tokoh yang menjadi pilihan Muhyiddin juga mahu disaksikan ekoran janji beliau pada 2 Mac lalu.

Kata Muhyiddin beliau akan menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai keutamaan selain melantik anggota kabinet daripada kalangan pemimpin yang bersih.

Kenyataan itu dibuat ketika orang ramai memahami ahli parlimen Pagoh itu berjaya menduduki tempat yang ditinggalkan Dr Mahathir Mohamad melalui kerjasama – antara lain – dengan Umno.

Pada masa sama, sebahagian pemimpin kanan Umno – termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi – sedang didakwa di mahkamah atas lebih 40 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.

Menurut kelaziman, pemimpin tertinggi sesebuah parti kerajaan akan diberikan tempat di kementerian kanan.

Penyertaan PAS juga menarik minat ramai kerana ia adalah pembabitan pertama parti itu menjadi kerajaan pusat selepas lebih 32 tahun.

Turut ditunggu-tunggu ialah status beberapa ahli parlimen dari PKR yang meninggalkan parti itu sekali gus mencetuskan detik permulaan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Antaranya ialah ahli parlimen Gombak, Azmin Ali, dan penyokong kuatnya, Zuraida Kamaruddin (Ampang).

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");