Panasnya Hari Ini
Like

Nasib Mukhriz Seperti Telur Di Hujung Tanduk – Dr Mahathir

March 11, 2020
556 Views
0 Comments
2 minutes read
Nasib Mukhriz Seperti Telur Di Hujung Tanduk – Dr Mahathir

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa nasib anaknya yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz kini diibaratkan seperti telur di hujung tanduk selepas terbentuknya Perikatan Nasional yang meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam menegaskan, 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas boleh bertindak mengikut Pas Pusat selari dengan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

“Banyak bergantung kepada ahli Pas. Kalau mereka tarik diri (ikut keputusan Pas Pusat), jatuhlah kerajaan dia. Waktu ini mereka tidak tarik diri walaupun bercanggah dengan pendirian Pas Pusat.

“Mereka masih mengekalkan sokongan kepada Mukhriz dan dia masih Menteri Besar. Tetapi situasi Mukhriz diibaratkan seperti telur di hujung tanduk. Kalau goncang sedikit, jatuhlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan adakah kerajaan Kedah yang dipimpin PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan tumbang seperti Johor, Melaka dan Perak selepas terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional.

Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Politik Semasa di Langkawi pada Sabtu lalu mengakui beliau pelik Pas masih menyokong kerajaan negeri di Kedah yang diterajui oleh Bersatu.

Namun, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan keadaan itu akan berubah kerana beliau percaya pimpinan Pas Kedah akan menerima tekanan daripada ibu pejabat parti berkenaan.

Kedudukan kerajaan negeri diterajui Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu dilaporkan dalam keadaan tidak menentu berikutan perpecahan dalam parti berkenaan selepas Bersatu keluar PH pada 24 Februari lalu.

Bagaimanapun, Mukhriz pada sidang medianya 4 Mac lalu menafikan kedudukan kerajaan negeri PH dan Bersatu goyah sambil mendakwa kedudukan sebanyak 19 kerusi yang dimiliki pakatan berkenaan menjadikan kerajaan negeri stabil.

Komen & Pendapat

Comments are closed.