Berita Hari Ini

Pembelian panik, peniaga naikkan harga

KUALA LUMPUR: Pembelian panik terhadap topeng muka dan cecair basmi kuman (hand sanitizer) serta barangan keperluan termasuk makanan ketika coronavirus (COVID-19) sedang melanda boleh mengakibatkan manipulasi pasaran dengan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harganya.

Sehubungan itu, badan bukan kerajaan (NGO) pengguna meminta rakyat tidak panik dan dan kelam kabut dengan membuat pembelian sedemikian.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, suasana panik dan kelam kabut itu menyebabkan ada peniaga mengambil kesempatan melakukan pencatutan dan mengawal harga serta bekalan barangan demi meraih keuntungan lumayan.

“Kami percaya pihak KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) sudah menggerakkan segala langkah perlu untuk memantau pasaran supaya tidak berlaku mereka yang melanggar undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dilaporkan ketika ini, wujud permintaan tinggi terhadap topeng muka dan sanitizer di pasaran ekoran penularan COVID-19, selain tindakan segelintir rakyat yang bimbang dengan wabak berkenaan, mengambil keputusan membuat pembelian panik terhadap barangan keperluan harian seperti makanan.

Sebelum ini, KPDNHEP sudah mengeluarkan amaran supaya peniaga tidak menaikkan harga topeng muka kerana ia termasuk dalam kategori harga terkawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau turut menasihatkan pengguna tidak mudah terperangkap dalam keadaan di luar dugaan itu kerana COVID-19 sedang mencetuskan krisis global yang rumit untuk ditangani secara bersendirian.

“Dorongan membeli barangan secara pukal kerana melihat orang lain berbuat demikian adalah tidak bijak. Pengguna perlu bijak dan berhemat, dapatkan maklumat yang tepat dan jangan terpedaya dengan maklumat palsu yang mencetuskan panik,” katanya.

Beliau juga menggesa pihak dewan perniagaan, berperanan mengawal ahli pengeluar dan peniaga supaya beretika dalam perniagaan mereka dalam keadaan yang sangat sukar ini.

“Pengguna perlu mengikuti dengan rapi perkembangan terkini mengenai wabak Covid 19 dari sumber resmi kerajaan. Mendahulukan keperluan asas dalam pembelian dan pastikan penjual tidak melakukan pencatutan.

“Melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada pelanggaran undang-undang yang berkaitan dengan undang-undang perlindungan pengguna dan memastikan segala nasihat pihak kerajaan untuk mencegah wabak ini dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, menggesa syarikat perniagaan dan korporat mengambil inisiatif memberikan secara percuma penutup muka dan cecair basmi kuman kepada rakyat, sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti.

Katanya, Malaysia boleh mengambil contoh beberapa negara luar seperti Jepun yang lebih awal mengedarkan dua barangan itu secara percuma kepada rakyatnya bagi mengelak penyebaran COVID-19.

“Jika tidak diberi percuma, mungkin potongan harga boleh diberikan syarikat pembekal. Dalam keadaan ini, keselamatan rakyat menjadi keutamaan semua,” katanya,

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");