Berita Hari Ini

Pemimpin terpalit skandal menjijikkan pun dapat tempat – Khaled

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin mendakwa ada pemimpin yang terpalit dengan ‘skandal menjijikkan’ masih dilindungi dan diberikan tempat dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian ketika menjawab gesaan bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad agar pemimpin Umno berhenti membangkitkan isu agihan jawatan kabinet.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Khaled berkata pelantikan pemimpin berkenaan dilakukan di sebalik janji Muhyiddin Yassin untuk menampilkan kabinet yang bersih dan berintegriti.

Justeru katanya, kebimbangan Abdul Hamid tidak sepatutnya ditujukan kepada pimpinan Umno, sebaliknya kepada kualiti dan kewibawaan kabinet itu sendiri.

“Bila 10 menteri dari blok Azmin (Ali) adalah mereka yang tidak menghormati mandat rakyat dan memperdagangkan jawatan Ahli Parlimen mereka untuk jawatan. Apakah itu sesuatu yang bermoral pada kaca mata Tun Hamid?

“Dan beberapa lagi yang dilantik dalam PPBM juga begitu. Mereka menang atas tiket Umno tetapi memilih jawatan daripada wibawa. Apakah ini kepimpinan Melayu yang Tun Hamid absahkan.

“Malah ada di kalangan mereka yang terpalit dengan skandal yang menjijikkan tetapi masih dilindungi dan diberikan tempat dalam kerajaan. Di sebalik janji untuk kerajaan yang bersih dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Hamid dalam satu tulisannya menyifatkan pemimpin Umno masih tidak berubah, tidak mengambil iktibar daripada kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau mendakwa mereka lebih mementingkan parti dan diri daripada kepentingan negara, bangsa dan agama.

”Tolonglah diam dan belajarlah daripada pegawai-pegawai di kementerian masing-masing mengenai bidang kuasa dan tugas masing-masing.

“Anda tidak terus tahu segala-galanya mengenai tugas anda apabila dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri. Janganlah hendak tunjuk pandai dalam perkara yang anda tidak tahu, nanti yang akan nampak adalah kebodohan anda.

”Tolonglah jangan bangkitkan lagi isu pembahagian jawatan menteri dan timbalan menteri. Jika tidak puas hati, letak jawatan. Jika tidak, buat kerja. Jika tak tahu, diam. Pegawai-pegawai di kementerian anda tahu melakukannya,” tulis beliau di laman blognya.

Sebelum itu, beberapa pemimpin Umno menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap komposisi kabinet Muhyiddin yang dilihat memihak Bersatu dan menguntungkan Azmin.

Antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik agihan kerusi itu ialah Anggota Majlis Tertinggi Umno, Azalina Othman Said dan Tajuddin Rahman.

Malam tadi, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan turut bersuara mengenainya dan berpendapat agihan itu sangat tidak adil kepada Umno.

‘Umno bukan penumpang’

Dalam pada itu Khaled berkata, Hamid wajar memahami perspektif kenapa Umno merasakan bahawa ia tidak mendapat agihan kerusi dengan adil.

Umno katanya, dari awal telah menuntut agar parlimen segera dibubarkan untuk memberi laluan kepada satu pilihanraya.

Sebaliknya Umno hanya menukar pendiriannya setelah kedudukan politik Malaysia terus berkonflik kerana tindakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Demi menyelesaikan kemelut tersebut, Umno dan PAS memilih untuk menyokong Muhyiddin semata-mata atas kepentingan nasional.

“Tanpa Umno dan PAS, Muhyiddin tidak dapat membentuk kerajaan. Justeru Umno adalah pendiri bersama kerajaan PN dan bukan penumpang.

“Kerana itu Umno merasakan wajar untuk ia mendapat keadilan melalui tuntutan ‘proportionate’,” katanya lagi.

Jelas Khaled, sesebuah kerajaan hanya akan hanya akan disegani dan diyakini dengan wibawa kabinetnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");