Perak Hari Ini

Perak Perkenal Inisiatif, Bantu Ringankan Beban Rakyat Hadapi Perintah Kawalan Pergerakan

IPOH: Dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan yang bakal bermula tengah malam ini, Kerajaan Perak memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat dalam golongan sasar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata antaranya ialah bantuan secara ‘one-off’ atau sekali bayar kepada penjaja dan peniaga kecil melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta bantuan tambahan kepada golongan yang memerlukan melalui pejabat daerah.

Selain itu, katanya kerajaan negeri turut akan menanggung bayaran beberapa insentif lain bermula bulan ini sehingga Mei ini.

Antara insentif yang terlibat ialah bayaran balik Pinjaman Pendidikan Negeri Perak, bayaran balik Tabung Usahawan dan Mikrokredit Yayasan Perak, bayaran balik Rumah Harapan,  serta bayaran sewa beli Rancangan Perumahan Awam.

“Selain daripada itu, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menangguhkan bayaran sewa beli Rancangan Perumahan Awam  serta bayaran sewa skim pertapakan kemudahan asas untuk tempoh tiga bulan ini.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan negeri juga akan mempercepatkan pembayaran gaji kakitangan tetap dan kontrak serta pekerja sambilan harian kepada 19 Mac ini,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan mengkaji sekiranya terdapat inisiatif tambahan yang dapat diperkenalkan kelak dan sejajar dengan kemampuan kewangan negeri.

“Semua inisiatif ini adalah respons awal pentadbiran kerajaan negeri terhadap kesan Perintah Kawalan Pergerakan kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas Berkenaan Wabak Covid-19 Di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, dekat sini, hari ini.

Terdahulu Menteri Besar telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Peringkat Negeri Perak bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan negeri berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula esok hingga 31 Mac berikutan wabak COVID-19, yang dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut mengingatkan rakyat Perak termasuk majikan dan peniaga untuk mematuhi arahan yang telah dikeluarkan kerajaan.

Beliau menyeru agar rakyat tidak mengadakan sebarang majlis atau acara keraian secara besar-besaran termasuk majlis kenduri kahwin.

“Seperkara yang penting juga, kita mesti mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, termasuk insiden pembelian panik.

“Tindakan ini akan memberi kesan yang amat negatif kerana ada sebahagian masyarakat akan membeli stok makanan jauh melebihi keperluan biasa.

“Ini akan menyebabkan berlakunya ‘artificial shortage’ atau kekurangan bekalan makanan yang tidak sepatutnya berlaku,” kata beliau.

Justeru Ahmad Faizal menyeru agar rakyat dapat bertenang dan dapat melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki terdapat cubaan peniaga yang menaikkan harga bekalan asas dengan tidak munasabah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");