Perak Hari Ini
Like

PKP: Kerajaan Perak Peruntukan RM20,000 Kepada Setiap 59 Adun, Bantu Rakyat Terjejas

March 24, 2020
556 Views
0 Comments
2 minutes read
PKP: Kerajaan Perak Peruntukan RM20,000 Kepada Setiap 59 Adun, Bantu Rakyat Terjejas

IPOH: Kerajaan Perak akan menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM1.18 juta kepada kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata peruntukan khas RM20,000 kepada setiap Adun itu akan diagihkan tanpa mengira latar belakang parti.

Jelasnya peruntukan khas itu disalurkan sebagai untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh Perak yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan ini.

“Saya ingin umumkan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan secara tunai kepada 59 Adun di Perak.

“Peruntukkan ini disalurkan supaya kesemua Adun ini dapat menyalurkan kepada rakyat yang memerlukan dalam waktu terdesak seperti ini.

“Tidak ada kepentingan terhadap mana-mana parti. Yang kita harus utamakan ketika ini ialah rakyat yang mana kita harus memberi perkhidmatan terbaik pada mereka seperti dalam keadaan masa kini,” katanya dalam satu temu bual di Radio Malaysia Perak FM, hari ini.

Difahamkan inisiatif itu sedang diproses oleh Bahagian Kewangan Negeri dan dijangka ia akan mula disalurkan kepada semua Adun pada esok.

Terdahulu menurut Ahmad Faizal kerajaan negeri telah mengumumkan beberapa inisiatif kepada golongan sasar di Perak dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 di negeri itu.

Antaranya ialah bantuan sekali bayar atau one-off sebanyak RM500 kepada 4,000 penjaja dan peniaga kecil melalui Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Perak yang mana bayaran akan dibuat bermula minggu ini.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri turut telah memperuntukkan sebanyak RM720,000 kepada golongan sasar melalui pejabat-pejabat daerah di negeri ini yang mana bantuan itu kini sudah mula disalurkan.

“Pada masa sama, kerajaan negeri turut memberikan sumbangan makan tengah hari dan makan malam selama 14 hari kepada 1,500 pakar dan petugas kesihatan, anggota dan pegawai polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM), serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)

“Dalam pada itu, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan khas sebanyak RM160,000 bagi pembelian peralatan tambahan Jabatan Kesihatan Negeri,” kata beliau.

Komen & Pendapat

Comments are closed.