Perak Hari Ini

PKP: MITI Digesa Teliti Semula Semua Syarikat, Kilang Yang Masih Beroperasi

IPOH: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) digesa untuk bertindak tegas terhadap syarikat atau kilang yang masih menjalankan operasi di Perak walaupun belum mendapat sebarang keputusan daripada MITI.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Perak Redzuan Zakaria berkata, sepatutnya syarikat-syarikat terbabit terlebih dahulu membuat permohonan kepada MITI sebelum memutuskan untuk meneruskan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ada syarikat yang kita mengesyaki permohonan kepada MITI untuk beroperasi itu masih dalam proses namun syarikat terbabit tetap menjalankan operasi seperti biasa sehingga hari ini. Ini boleh dikatakan seolah-olah syarikat ambil kesempatan untuk beroperasi.

“Sebagai contoh, katakan pada penghujung Mac ini, syarikat baru mendapat keputusan bahawa tidak dibenarkan beroperasi, pada hal ia sudah beroperasi pada sebelum ini. Ia sesuatu yang tidak patut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, ada juga aduan yang mendakwa terdapat syarikat yang diluluskan MITI untuk beroperasi walaupun syarikat itu tidak melibatkan sebarang produk penting atau essential.

Ujar beliau ia tidak adil kepada pekerja yang berisiko untuk terdedah kepada wabak Koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda negara kini.

Katanya lagi, beliau turut meminta MITI agar meneliti semula permohonan yang dibuat kesemua syarikat di negeri ini untuk beroperasi.

Beliau mendakwa terdapat syarikat yang tidak memberi maklumat yang tepat kepada MITI selain tidak mematuhi peraturan untuk mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minimum atau sekurang-kurangnya sebanyak 50 peratus sebagaimana yang ditetapkan.

Katanya dianggarkan 1,500 pekerja daripada beberapa buah syarikat dan kilang di negeri ini yang terkesan daripada perkara tersebut.

“Dalam perkara ini saya menasihatkan agar pihak syarikat tidak mementingkan keuntungan semata-mata.

“Dalam kita menghadapi Covid-19 ini, ia sangat bahaya kepada pekerja yang mana kebajikan mereka harus diutamakan,” kata beliau.

Justeru beliau berharap agar MITI dapat memberi memberikan penjelasan telus berhubung perkara tersebut dan katanya MTUC Bahagian Perak bersedia bekerjasama dengan MITI dalam isu sama.

“Pada masa terdekat, kita akan cuba sekali lagi untuk menghubungi MITI untuk membangkitkan perkara ini,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");