Panasnya Hari Ini

PKR Dakwa Muhyiddin, Azmin ‘Musuh Dalam Selimut’

KLANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi ‘musuh dalam selimut’ menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika menteri dan timbalan menteri melaksanakan dasar dan perancangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat, dua individu tersebut bermain politik mengkhianati mandat yang diberikan.

“Pengkhianatan ini pedih, namun saya ambil masa membaca sedikit sejarah berkaitan pengkhianatan.

“Bila saya baca balik hati saya terubat kerana sejarah pengkhianatan pernah berlaku kepada Nabi Muhammad SAW. Kalau Nabi pernah, apa sangatlah kita ini,” katanya pada Ceramah Jelajah Pakatan Harapan Kota Raja di Taman Sri Andalas, Klang di sini malam tadi.

Beliau mendakwa alasan kejatuhan kerajaan PH berlaku kerana kegopohan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadi Perdana Menteri dengan menekan Tun Dr Mahathir untuk meletakkan jawatannya sebenarnya skrip ciptaan Mohamed Azmin memetik Sinar Harian.

“Saya ingin menjelaskan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 21 Februari lalu, semua pimpinan utama parti hadir.

“Dalam perbincangan kita berakhir dengan baik iaitu keputusan peralihan kuasa Perdana Menteri diserahkan atas budi bicara Dr Mahathir iaitu selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Itu keputusan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah),” katanya.

Namun begitu, beliau berkata, pada malam Jumaat itu juga wujud persiapan seolah-olah PH berpecah kerana ada pihak memberikan tekanan kepada Dr Mahathir supaya berhenti.

“Sabtu itu tenang, tetapi Ahad berlaku pertemuan pemimpin parti politik di Hotel Sheraton. Arkiteknya, saudara Muhyiddin dan Mohamed Azmin.

“Mereka membawa pemimpin Barisan Nasional (BN), Pas dan parti dari Sabah serta Sarawak. Mereka mengharapkan Dr Mahathir untuk ikut serta, tetapi beliau memilih jalan sebaliknya dan tidak hadir,” katanya.

Menurutnya, satu pertemuan antara Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dengan Dr Mahathir berlaku selepas itu.

“Dr Mahathir berkata beliau tidak turut serta dengan gerakan menukar kerajaan kerana beliau mungkin tidak diangkat menjadi Perdana Menteri di bawah Perikatan Nasional yang mana BN dan Pas mendominasi.

“Saya tanya lagi apa masalah, Dr Mahathir berkata UMNO dan Pas merupakan parti yang telah ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). UMNO hari ini dipimpin oleh mereka yang terpalit dengan isu rasuah dan pecah amanah,” katanya.

Jelasnya, lagi Dr Mahathir pernah bertanya kepada Muhyiddin dan beliau menjawab boleh menerima serta bekerja dengan UMNO.

“Perkara itu menjadi garisan pemisah antara Muhyiddin dengan Dr Mahathir. Dr Mahathir menjelaskan dia ada hadnya.

“Bagi beliau, garis memisahkan (kerjasama) ialah kalau ada istilah perompak dan pengkhianat dia tidak mahu. Perkara ini saya rakam dalam buku catatan,” katanya.

Tambahnya, Bersatu kemudiannya mengadakan mesyuarat bersama ahli Parlimennya dan wujud tekanan mengenai dua perkara di mana beliau diminta melanggar janji menyerahkan jawatan kepada Anwar.

“Pemimpin parti itu kata Dr Mahathir jangan pegang janji, tetapi dia kata tak boleh.

“Kedua, permintaan supaya Bersatu keluar daripada PH kerana ada DAP di dalamnya. Dr Mahathir kata tak boleh, kita tak boleh keluar PH. Disebabkan perbezaan pendapat ini, tiba masanya mereka memilih Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri. Ini punca mengapa Dr Mahathir lepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri,” katanya.

Saifuddin dakwa Muhyiddin tipu jumlah ahli Parlimen sokong beliau menjadi calon PM

Dalam perkembangan sama, Saifuddin turut mendakwa berdasarkan mesyuarat Bersatu itu Istana Negara telah menjemput Muhyiddin kerana beliau menyatakan mempunyai sokongan majoriti 36 Ahli Parlimen Bersatu selain Mohamed Azmin bersama rakan-rakan, UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menjadi Perdana Menteri.

“Namun, apabila Dr Mahathir ke Istana Negara untuk menyatakan Muhyiddin tidak mempunyai sokongan 36 Ahli Parlimen Bersatu, pintu istana telah ditutup.

“Muhyiddin sebenarnya tidak mempunyai majoriti mudah kerana tujuh hingga lapan Ahli Parlimen Bersatu tidak menyokongnya. Dr Mahathir turut menyediakan akuan bersumpah (SD). Ternyata Muhyiddin sebenarnya tidak benar dalam soal jumlah sokongan ahli Parlimen. Kita telah buat laporan polis berhubung penipuan Muhyiddin ini,” katanya.

Saifuddin tanya Muhyiddin apa khabar

Saifuddin turut menyindir Muhyiddin berhubung ucapan pertama beliau selaku Perdana Menteri dengan menyatakan beliau bukan pengkhianat.

“Ayat ini datang daripada hati yang resah,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang sebulan mesyuarat Kabinet, Muhyiddin hanya datang sekali dalam sebulan.

“Tiga minggu lagi dia rehat kerana menjalani rawatan. Beliau baharu sahaja pulih daripada rawatan penyakit kanser.

“Saya masih ingat Muhyiddin sering ambil cuti sakit. Dia pesakit kanser dan kedudukan sekarang yang memberi tekanan kepada beliau, saya simpati,” katanya.

Katanya lagi, Muhyiddin sekarang berhempas pulas menolak persepsi pengkhianatan yang dilakukan olehnya.

“Kedua, cabaran yang dihadapi olehnya ialah berapa lama kerjasama dengan rakan-rakan Perikatan Nasional mampu bertahan. Berapa lama dia boleh pegang dan seimbangkan siapa Timbalan Perdana Menteri dan menteri.

“Rakyat Malaysia nak tengok kerajaan Perikatan Nasional ini apa bezanya dengan PH yang mendapat mandat. Orang sedang menunggu kerana tidak ada suatu yang baharu.

“Cabaran seterusnya ialah bagaimana beliau mahu mewujudkan formula antara kaum di Malaysia kerana itu mempengaruhi keyakinan pelabur. Rakyat sentiasa ingat Muhyiddin sering sebut beliau ialah pemimpin yang mengutamakan Melayu. Berbeza dengan PH yang meraikan kepelbagaian kaum,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");